KUALA LUMPUR: Sebuah kelab gay yang menjadi tumpuan lelaki yang mempunyai keinginan pada kaum sejenis terutama di hujung minggu diserbu polis dalam satu operasi di Jalan Yap Kwan Seng di sini awal hari ini.
Serbuan pada pukul 1.30 pagi mendapati terdapat lebih 500 pengunjung majoritinya lelaki yang sedang asyik menari, malah ada yang bercumbu dan membuat aksi mengghairahkan.
Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) ASP Mohd Ashril Md Johar yang mengetuai operasi itu berkata 28 lelaki dan empat wanita, berumur antara 20 dan 50 tahun, ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamin.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000.
Polis turut menemui dadah jenis Eramin 5 di lantai kelab itu yang dipercayai dibuang oleh pengunjung kelab, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mohd Ashril berkata ini kali pertama serbuan dilakukan ke atas kelab itu yang beroperasi sejak setahun lepas, dan pada masa serbuan terdapat 500 lelaki dan 34 wanita.
Pemantauan ke atas kelab itu dibuat sejak seminggu lepas, katanya.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Jalan Changkat Imbi, polis menahan 13 wanita warganegara China yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dan 11 pelanggan.
Kesemua wanita yang ditahan diserah kepada pihak Imigresen untuk disiasat mengikut Akta Imigresen, manakala pelanggan lelaki ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi pukul 12 tengah malam, polis turut menemui beberapa bilik di tingkat dua bangunan empat tingkat itu yang dipercayai digunakan untuk memberi khidmat seks.
Selain itu, pusat hiburan itu turut menyediakan bilik VIP untuk pengunjung khas.
sumber - mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan