Oleh Faisal Tehrani
Sinema Spiritual dalam Siasah minggu ini akan menyorot dokumentari arahan John Pilger (foto di atas) berjudul 'The War On Democracy'. Dalam dokumentari ini beliau membongkar modus operandi CIA dalam menjatuhkan kerajaan yang ada, termasuk usaha kudeta melengserkan Hugo Chavez lapan tahun lalu. Saya kemudian mengaitkannya dengan apa yang berlaku di Tehran hari ini. Dapatkan Siasah ahad nanti.
Petikan artikel:
"Selapis demi selapis John Pilger membongkar kudeta yang sebenarnya dirancang oleh CIA. Bertahun-tahun Amerika Syarikat mengerahkan seluruh jentera yang ada khususnya media untuk menyediakan basis konspirasi dahsyat ini. Salah satu jentera di bawah CIA tersebut ialah NED. Apakah NED? NED ialah National Endowment for Democracy.
NED berfungsi untuk menyalurkan dana bagi menjatuhkan kerajaan di negara yang tidak memihak kepada Amerika Syarikat. Atau di negara yang Amerika Syarikat percaya tokoh buah hatinya akan lebih ‘berfungsi’. Di Venezuela, lebih dua juta dolar disalurkan kepada pembangkang untuk menjatuhkan Chavez.
Dokumentari ini sangat penting untuk ditonton. Kita akan memahami anatomi penipuan, helah, cara kerja Rumah Putih dalam menyediakan boneka Amerika di negara yang mereka sasarkan. Sejak 1945, menurut kajian Pilger, Amerika Syarikat telah berusaha menjatuhkan lebih 50 buah kerajaan yang demokratik supaya ia pro Washington.
Inilah yang sedang dilakukan oleh NED di Malaysia dan Republik Islam Iran. Adalah tidak mengejutkan Kenneth Timmerman, salah seorang pemikir NED terlanjur mengatakan dalam ucapannya di sebuah majlis di Washington beberapa hari sebelum pengundian di Iran, berbunyi begini: “There’s the talk of a ‘green revolution’ in Tehran.”
Gerakan hijau yang beliau maksudkan tidak lain tidak bukan ialah gerakan pembangkang atau reformis yang diketuai Mir Houssein Mousavi. Kempen Mousavi menggunakan warna hijau. Dan kita semua tahu betapa media selama bertahun-tahun menggambarkan Presiden Ahmadinejad sebagai fasis anti Zionis yang tidak cekap mengurus ekonomi.
Tidakkah ada persamaan apa yang menimpa Chavez hampir sepuluh tahun lalu dengan apa yang dilalui Ahmadinejad hari ini? Siapakah pembunuh sebenar Neda Agha-Soltan, remaja yang ditembak mati oleh penembak hendap dari atas bumbung di Tehran? CNN mendakwa Neda dibunuh oleh Basiji (kumpulan para militari yang setia kepada Ayatullah Ali Khamanei). Tetapi tidak pernah ada pembuktian. Malah video pembunuhan Neda yang kini boleh dimuat turun dari youtube dan dihebahkan menerusi twitter di seluruh dunia kononnya menjadi ikon untuk menjatuhkan Imam Ali Khamenei."
sumber - faisal tehrani
1 ulasan:
Sama dengan apa yg berlaku kat Malaysia. Kat sini kita ada seorang pemimpin pro amerika yang kerja nye memporak peranda kan negara. Bukan setakat pro amerika tapi pro zionist juga.
Catat Ulasan