Republik Islam Iran kini sedang dilanda krisis politik terburuk sejak revolusi Islam pada 1979 yang memeranjatkan dunia, terutama kuasa Amerika Syarikat (AS) dan barat.
Sebaik saja selesai pilihan raya Presiden pada Jumaat 12 Jun lalu yang mengumumkan kemenangan Presiden Mahmoud Ahmadinejad untuk penggal kedua, pihak pembangkang telah mencetuskan demonstrasi menyokong calon pembangkang utama, Mir Hussien Mausavi yang menganggap pilihan raya itu tidak sah kerana berlakunya penyelewengan dan penipuan.
Keputusan pilihan raya memberi mandat kepada Ahmadinejad selama empat tahun lagi untuk memimpin Iran di bawah naungan pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Ali Khamenie yang dipilih menggantikan Ayatullah Ruhullah Imam Khomeini yang meninggal dunia beberapa tahun selepas berjaya menggulingkan pemerintahan dinasti Shah Pahlavi dalam satu revolusi Islam yang dianggap paling agung di abad ke-20.
Revolusi Islam Iran yang dicetuskan oleh Imam Khomeini bersama ulama-ulama di Qum, bandar pusat pengajian terbesar mazhab Syiah dan turut didukung sama oleh cendekiawan dan intelektual Islam telah mengembalikan suasana Islam di Iran dari satu suasana sosial agak asing apabila masyarakat Iran hampir melupuskan nilai-nilai Islam dan mendakap erat nilai-nilai barat dalam kehidupan mereka.
Kini Iran dilanda krisis politik yang agak gawat dan mencabar kerana ia melibatkan pertentangan aliran pemikiran kalangan pengawal majlis ulama yang memilih seorang ulama sebagai pemimpin tertinggi mereka. Ayatullah Ali Khamenie dipilih oleh pengawal majlis ulama dan majlis itu juga boleh menyuruhnya melepaskan jawatan.
Krisis politik yang melanda Iran sekarang bukan setakat pilihan raya dan kemenangan Ahmadinejad tetapi ia melibatkan pergolakan dan percaturan politik di peringkat paling tinggi dan atas melibatkan para ulama yang menganggotai pengawal majlis ulama.
Ali Khamenie dalam khutbah Jumaat di dataran Universiti Tehran memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi dengan demonstrasi jalanan dan apa yang berlaku selepas itu adalah tanggungjawab mereka yang menganjurkan demonstrasi.
Tetapi amaran itu tidak dipedulikan dan demonstarsi diteruskan. Bagaimanapun bilangan mereka yang hadir menjadi semakin kecil dan pihak berkuasa Iran bertindak keras meleraikan mereka yang cuba berkumpul untuk meneruskan demonstrasi.
Percaturan dalam politik Iran selepas pilihan raya yang memberikan 63 peratus kemenangan kepada Ahmadinejad berbanding Mausavi 33 peratus tidak berakhir di situ.
Mausavi disokong sama oleh calon Presiden yang lain disamping bekas-bekas Presiden seperti Rafsanjani dan Kattami dan beberapa orang ulama yang menganggotai majlis ulama, badan tertinggi yang melantik pemimpin tertinggi dan yang meluluskan peribadi yang akan bertanding dalam pilihan raya.
Khamenie berkata, Ahmadinejad memenangi undi melebihi 11 juta berbanding yang diperolehi Mausavi. Pemimpin tertinggi itu telah memanggil calon-calon Presiden yang kalah untuk berjumpa dengan majlis ulama dan sanggup mengira semula kertas-kertas undi di tempat yang dikatakan berlaku penyelewengan.
Semua calon yang kalah, termasuk Mausavi tidak hadir. Penyokong Mausavi tidak mempedulikan amaran pemimpin tertinggi dan meneruskan tunjuk perasaan hingga berlaku satu letupan bom di luar kawasan makam Imam Khomeini, Pengasas dan Bapa Revolusi Islam Iran.
Mereka yang meneruskan demonstrasi jalanan ini adalah golongan reakesiner yang antirevolusi Islam kerana mereka menganggap dengan pemerintahan yang ada kebebasan mereka sebagai individu dan arahan-arahan keIslaman bagi membentuk akhlak dan nilai moral sebagai menyekat segala kebebasan mereka.
Anasir luar mengambil kesempatan apa yang berlaku di Tehran untuk menghuru-harakan Iran dan meletakkannya dalam keadaan tidak stabil untuk menukar kerajaan yang ada kepada kerajaan yang lebih dapat diterima oleh AS dan barat. Kerajaan Ahmadinejad diaggap terlalu keras terutama dalam soal nuklear dan dasar luar.
Kuasa-kuasa serantau di samping kuasa AS dan Barat tidak senang dengan dasar Ahmadinejed yang disokong oleh Khemanie kerana selama empat tahun yang lalu Iran makin berpengaruh sebagai kuasa serantau terutama dalam percaturannya di rantau Timur Tengah.
Iran kelihatan mempunyai kehadirannya di Iraq, Lubnan, Palestin dan di kawasan-kawasan konflik yang lain yang tidak disenangi kuasa serantau lain.
sumber - sinar harian
1 ulasan:
salam.Pakmalau
Catat Ulasan