IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Exco Kanan Perak Datuk Hamidah Osman membuat laporan polis terhadap bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar yang didakwa telah menyalahgunakan kuasa dengan menghalau tujuh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dan tiga ADUN Bebas keluar dari dewan pada persidangan DUN 7 Mei lepas.
Hamidah berkata tindakan Sivakumar jelas menunjukkan bekas Speaker itu tidak menerima keputusan yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini yang boleh dianggap sebagai menghina kredibiliti dan integriti mahkamah.
"Pada hari itu, beliau bertindak di luar bidang kuasanya dengan menghalau 10 ADUN yang sepatutnya bersidang dan enggan memulakan persidangan walaupun mahkamah telah membuat keputusan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini malam tadi.
Katanya tindakan ADUN pakatan pembangkang yang berdiri di hadapan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah ketika baginda hendak memulakan titah perasmian persidangan itu juga dianggap menghina institusi diraja.
"Tindakan ini amat memalukan, keterlaluan dan satu penghinaan terhadap institusi diraja dan DUN. Ia harus dihentikan dan tindakan perlu diambil terhadap mereka," katanya.
Hamidah yang juga ADUN Kawasan Sungai Rapat turut membuat laporan polis berasingan terhadap Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda yang didakwa memfitnahnya dengan menuduh Hamidah berkomplot dengan polis bagi melindungi sekumpulan samseng membelasah dua beradik lelaki yang menuntut hutang.
"Fauzi tanpa usul periksa telah menuduh saya melindungi dan menjamin samseng yang membelasah dua beradik itu di sebuah restoran di Pekan Razaki, Gunung Rapat di sini. Pada 10 Mei lepas mereka buat laporan polis dan hari ini (semalam) telah memfailkan satu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Hamidah berkata beliau membuat laporan polis itu bagi membersihkan namanya dan menjelaskan kepada pengundi serta orang ramai mengenai perkara itu yang didakwanya telah dimanipulasi pihak tertentu untuk meraih populariti.
Beliau juga menegaskan akan menyaman Fauzi melalui peguamnya kerana dengan sengaja mahu menjatuhkan namanya, memfitnah dan memburukkan reputasinya sebagai seorang Exco Kanan Kerajaan Negeri dan (ADUN) kawasan Sungai Rapat.
Pada pukul 10.45 pagi semalam, Fauzi yang membuat laporan di pejabat SPRM di sini, berkata kira-kira 40 samseng terlibat dalam kejadian itu yang berpunca kerana salah seorang daripada mereka tidak mahu kedua-dua mangsa yang dibelasah meminta hutang daripadanya.
sumber: Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan