Sudah terang lagi bersuluh. Walaupun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bermati-matian menafikan wujudnya Pasukan Tok Guru dan Pasukan Presiden tetapi bagaimanapun bau perpecahan ini tidak mampu ditutup lagi apabila tujuh kawasan Pas di Wilayah Persekutuan seakan memboikot pencalonan tiga jawatan tertinggi.
Adakah ini menunjukkan mereka membantah tindakan pemimpin tertinggi yang ada sekarang ataupun tidak bersetuju dengan cadangan golongan tertentu yang beria ingin menggantikan penyandang jawatan utama itu dengan calon baru.
Umum akui, sejak dahulu lagi, Pas Terengganu dan Pas Kelantan sering bertingkah dengan lagu yang tidak senada. Lebih-lebih lagi munculnya idea kerajaan campuran yang secara terang-terangan tidak dipersetujui Tok Guru.
Saya sifatkan idea Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai bunga keretakan sebuah rumah tangga, masih terikat dengan si ‘A’ tetapi sudah ingin meminang si ‘B’.
Walaupun sebenarnya, saya setuju dengan gabungan ini, biarpun ada yang mengatakan tidak ada titik kesamaan yang boleh dijadikan garis panduan antara kedua-dua parti.
Sebenarnya perbezaan pendapat ini bukannya perkara baru. Sebelum ini Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali pernah dipanggil oleh Tok Guru untuk memberi nasihat disebabkan kelantangannya mengulas perkembangan politik semasa.
Pada saat rakyat negara ini tertunggu-tunggu apa yang akan berlaku pada 16 September seperti yang dijanjikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mustafa menyatakan 16 September yang digembar-gemburkan tidak mungkin berlaku atas faktor teknikal dan politik.
Akibat kelantangannya, beliau dipanggil Tok Guru untuk diberi nasihat yang beliau sifatkan sebagai teguran daripada seorang ayah kepada seorang anak.
Justeru, mengapa mereka bersetuju untuk bergabung, jika akhirnya ingin pula bersatu dengan UMNO. Apatah lagi cadangan itu datangnya daripada orang nombor satu parti. Apakah gabungan sebelum ini tidak menguntungkan mereka, ataupun mereka berasa dipergunakan oleh pihak yang satu lagi?
Daripada pemerhatian saya, gabungan Pas dalam Pakatan Rakyat tidak adil untuk rakyat Malaysia. Suara hati saya mengatakan ini tidak sepatutnya berlaku.
Jika dahulu, kita melihat kelantangan Pas sebagai sebuah parti Islam dalam mempertahankan Islam, memperjuangkan orang Melayu dan menjadi pemantau untuk segala salah laku moral tetapi suara itu kini seakan tenggelam. Bercampur aduk dengan agenda lain yang tidak fokus sehingga tidak lagi kedengaran.
Sebelun ini, saya melihat Pas sebagai bukan hanya sebuah parti politik tetapi juga sebagai pembela yang menyeimbangkan kuasa kerajaan yang memerintah.
Justeru, jika mereka ingin mempertandingkan jawatan nombor satu itu, siapa yang selayaknya mengambil alih tempat Hadi.
Adakah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ataupun Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa yang dilihat turut menjadi mangsa akibat idea tidak popularnya menyokong cadangan Hadi?
Entah, sebagai orang luar, saya tidak nampak ‘sengat’ dalam kalangan pelapis yang boleh ditonjolkan pada Muktamar Pas Jun ini.
sumber - sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan