MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

23 Apr 2009

Mohd Sabu paling layak sandang Timbalan Presiden PAS - Faisal Tehrani



Oleh Faisal Tehrani

1. Saya tertarik dengan hasrat Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS. Selain beliau, ahli-ahli PAS mulai mencalonkan Husam Musa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din untuk jawatan Timbalan Presiden PAS tersebut.

2. Saya berpandangan Mohamad Sabu amat sesuai untuk jawatan tersebut. Datuk Seri Azizan Razak memanglah berkelayakan tetapi beliau lebih sesuai menumpukan kerja-kerjanya di Kedah Darul Aman untuk memastikan pentadbiran negeri yang berada di bawah PAS tidak dicampuri oleh 'orang itu'. Jika beliau disibukkan oleh kerja parti, tidak mustahil kerajaan negeri Kedah juga akan tergoncang oleh perangai-perangai tidak senonoh segelintir pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

3. Datuk Dr Haron Din adalah lebih sesuai menjawat jawatan Mursyidul Am PAS yang kini disandang Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau adalah satu-satunya calon yang menonjol dan dapat diterima umum. Masyarakat mengenal beliau sejak pembabitan beliau sebagai ahli akademik di UKM. Kerja-kerja berkebajikan beliau yang melibatkan rawatan perubatan secara Islami misalnya memberi kredit yang besar. Meskipun beliau dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sama-sama dalam keadaan uzur, Datuk Dr Haron Din lebih hampir dengan Lembah Kelang, justeru boleh menghadiri mesyuarat Majlis Syura tanpa masalah, dan alasan. Ilmu agama beliau juga setanding dan tidak kalah berbanding Mursyidul Am sekarang ini. Sudah tiba masanya PAS memberi ruang kelegaan supaya Datuk Nik Abdul Aziz dapat lebih banyak berehat selain menumpukan perhatian dengan kerajaan negeri Kelantan yang tidak pernah sunyi dari masalah dalaman dan keletah YB yang membuatkan kita jengkel.

4. Mohamad Sabu lebih layak berbanding Husam sebagai Timbalan Presiden PAS. Dedikasi yang ditunjukkan oleh beliau dalam parti ini sukar untuk ditandingi Husam. Beliau berada di dalam PAS saat sukar dan senang. Mohamad juga menunjukkan keteguhan dan komitmen, istiqamah, dan kecekalan luar biasa saat dipenjarakan sebanyak dua kali. Calon ini telah teruji berbanding Husam.

5. Mohamad juga tidak asing di peringkat bawahan. Kemesraan beliau dengan ahli biasa, masyarakat marhaen dan kumpulan murbawan dalam kalangan rakyat tidak dinafikan lagi. Kejuaraan beliau dalam memperjuangkan isu-isu penindasan telah pun ditunjukkan. Keprihatinan beliau dalam masalah orang bawah sudah direkod dengan tinta emas dan tidak tertuliskan. Beliau misalnya tidak segan duduk minum dengan ahli biasa di warung murahan. Faktor ini tidak akan pernah dapat disaingi oleh calon lain termasuk Husam.

6. Mohamad juga dikenali akrab, dan tahu bila harus menjual mahal, dan bila pula harus bertolak ansur dengan pemimpin DAP. Hubungan persahabatan beliau khusus dengan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng amat menarik. Kecintaan Guan Eng kepada model Khalifah Umar Abdul Aziz datang dari Mohamad Sabu.

7. Mohamad Sabu juga tidak tergila-gilakan agenda bekerjasama dengan Barisan Nasional khususnya UMNO. Ini menepati kehendak sebahagian besar ahli PAS.

8. Mohamad Sabu juga amat dikenali di luar. Ahli-ahli PAS harus ingat, yang PAS tetaplah sebuah gerakan Islam. Meskipun bukan berlatar belakang agama, Mohamad sering ke luar negara oleh undangan pelbagai gerakan Islam termasuk Ikhwanul Muslimin, Hezbullah, Parti Saadet Turki, Hamas Palestina, parti-parti Islam di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Kelantangan Mohamad dalam isu ummah khusus Palestina tidak dapat dipertikaikan lagi. Ini adalah bonus yang besar berbanding Husam yang kurang dikenali dalam kalangan gerakan Islam di luar.

9. Mohamad juga adalah pemimpin PAS yang berani. Malah sudah ada semacam satu peribahasa dalam kalangan ahli PAS, 'di mana ada demonstrasi di situ ada Mohamad Sabu'. Hal ini tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana calon lain.

10. Lebih penting, dalam isu pemansuhan PPSMI, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said sendiri pernah mengatakan Mohamad Sabu adalah model 'negarawan' yang sebenar. Negarawan adalah pemimpin yang mengambil berat dan sensitif dalam isu-isu rakyat marhaen, serta tidak pernah lelah memperjuangkan kebenaran. Lihat sahaja program atau ceramah yang dihadiri Mohamad Sabu, jumlah khalayak yang hadir luar biasa sekali.

11. Berbanding Husam, Mohamad juga sekarang tidak mempunyai jawatan tertentu (kecuali Naib Presiden) yang memungkinkan beliau menumpukan perhatian kepada kerja-kerja parti. Jika Mohamad menjadi Timbaan Presiden PAS, rakyat biasa akan membandingkan Timbalan Presiden PAS dan UMNO, dan mereka akan merasakan Timbalan Presiden PAS lebih dekat di hati. Beliau tidak kelihatan aristokrat dan bangsawan. Beliau seperti telah saya sebutkan, tidak kekok untuk menggauli rakyat.

12. Mohamad Sabu berasal dari utara (meskipun menetap di Shah Alam), ini dapat memberi imbangan kuasa dalam PAS supaya PAS tidak kelihatan terlalu diwakili oleh kumpulan ahli dari Timur Semenanjung.

Oleh kerana itu, saya berpendapat tidak ada calon lain yang lebih munasabah untuk jawatan Timbalan Presiden PAS bagi membantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

sumber - Faisal Tehrani


1 ulasan:

putib berkata...

satu pandangan dan cadangan yang baik...

terima kasih