WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, mengakui tentera negaranya tidak akan menang dalam perang di Afghanistan ketika membayangkan kesediaan berbincang dengan golongan sederhana Taliban, pandangan yang disokong Presiden Hamid Karzai.
Merujuk kepada kejayaan strategi membawa penentang Sunnah di Iraq ke meja rundingan, Obama memberitahu akhbar New York Times (NYT) mengenai 'kemungkinan cara sama dilakukan di Afghanistan dan Pakistan.'
Strategi di Iraq dirangka Jeneral David Petraeus yang ketika itu komander tentera Amerika di negara Teluk itu.
"Jika anda bercakap dengan Jeneral Petraeus, beliau akan kata sebahagian kejayaan di Iraq adalah berunding dengan pihak yang kita anggap fundamentalis tetapi bekerjasama dengan kita kerana mereka tidak mahu terbabit dengan taktik al-Qaeda," kata Obama dalam temu bual dengan NYT.
Namun, Obama mengingatkan, Afghanistan bukannya Iraq, dan usaha damai mungkin sukar.
"Afghanistan lebih rumit. Ia lemah dari segi pentadbiran dan mempunyai sejarah kemerdekaan ganas. Golongan puak ini pula banyak dan kadangkala bertindak dengan tujuan berbeza, jadi untuk membawa mereka bersama adalah cabaran besar," katanya.
Ditanya apakah Amerika menganggap ia menang di Afghanistan, Obama menjawab: "Tidak. Anda melihat keadaan semakin teruk dalam beberapa tahun lalu. Taliban semakin ganas. Di selatan, mereka menyerang dengan cara yang belum pernah kita saksikan," katanya.
Di London, bekas panglima tentera Britain di Afghanistan, Mejar Sebastian Morley berkata, operasi tentera di Afghanistan 'tidak berbaloi' kerana tentera negaranya dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) tidak mampu menewaskan Taliban.
"Kami hanya menguasai kawasan kecil di Helmand dan membohongi diri sendiri jika menganggap pengaruh kami boleh menjangkau melebihi 500 meter dari pangkalan," kata Morley, 40 kepada akhbar Daily Telegraph.
"Adalah tidak masuk akal kalau kami berfikir yang kami menguasai kawasan atau berpengaruh di luar pangkalan kami," katanya.
"Kami keluar untuk operasi, bertempur dengan Taliban dan kemudian balik ke kem untuk minum teh. Kami tidak menguasai kawasan itu. Pejuang Taliban tahu di mana kami berada. Mereka tahu kami pulang ke kem."
Britain mempunyai 8,300 askar di Afghanistan - ketiga terbesar selepas Amerika dan tentera negara lain dalam Nato.
Sebanyak 149 askar Britain mati di Afghanistan sejak 2001. – AFP
sumber - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan