Oleh Kumbang, AIDCclub
Pencerahan bukan idea dari agama
Khalid Jaafar, Ketua Institut Kajian Dasar; salah seorang pendukung dan pengembang pendapat Anwar Ibrahim ada menyatakan berhubung peranan Islam dalam negara seperti Malaysia.
Beliau berkata bahawa, "Dalam mengurus sebuah negara majmuk dan kosmopolitan dimana Islam adalah agama persekutuan maka kita memerlukan tafsiran Islam yang tinggi dan mendalam, tafsiran yang merujuk kepada sejarah dan pengalaman kerohanian yang kaya dan intelektual yang segar, Islam yang majmuk, luas, kosmopolitan, rasional dan toleran.
Tafsiran ahli-ahli falsafah seperti Ibn Rushd yang menegaskan keharmonian antara wahyu dengan akal dan tafsiran mistik seperti Jalaluddin Rumi dan Muhyiddin Ibn Arabi sungguh relevan hari ini dalam berdepan dengan masyarat kepelbagaian agama dan kaum."
Dapatlah disimpulkan dari sumber di atas bahawa Anwar Ibrahim dan pendukung-pendukung beliau memiliki aspirasi serta membawa idea-idea Wacana Kebebasan yang dipelupuri oleh John Locke (1632M-1704M) yang juga digelar sebagai Bapa Falsafah Kebebasan (Liberation) dan Pencerahan (Enlightenment) Eropah Moden di akhir-akhir Zaman Pertengahan Eropah.
Ini adalah berpandu kepada rujukan-rujukan yang kerap dibuat oleh Anwar Ibrahim kepada John Locke apabila berbicara tentang kebebasan dan pandangan beliau adalah selari dengan pemikiran falsafah yang dibawa oleh Ahli Falsafah tersebut.
Pemikiran Locke serta prinsip Liberal dan Pencerahan yang dibawanya menghendaki bahawa bagi membolehkannya berfungsi maka ianya mestilah bertapak di dalam ruang yang berbentuk sekular dan majmuk di segi penerimaan idea-idea yang berhubung dengan Kontrak Sosial itu bagi membolehkannya subur.
Polemik-polemik dalam bentuk keagamaan dan perkauman akan hanya merosakkan aspirasi yang tertinggi yang dibawa oleh Kebebasan dan Pluralisma, dan ini tidak dizinkan.
Berdasar kepada bentangan ringkas tentang Liberalisma dan Pluralisma yang menjadi asas dan intisari aliran pemikiran Anwar Ibrahim seperti di atas, bolehlah disimpulkan bahawa Program Pendemokrasian yang dicita-citakan oleh Anwar Ibrahim yang dengan kemudiannya itu terlaksanalah pula Kebebasan Hakiki yang diidaminya adalah berpaksikan kepada suatu kaedah yang asing dari Agama dan pemikiran tersebut berasas dari aliran pemikiran Falsafah Barat. Ianya bukan berdasarkan sumber-sumber yang ada di dalam syariat Islam.
-Zek AIDC
Analisis Kumbang..
Ketakutan melanda Kumbang selepas pilihanraya ke-12 lalu dengan istilah-istilah yang mencengkam jiwa.
Ketuanan Rakyat, pencerahan, renaissance, liberal, pluralisme, moderate dan reformasi mengambil tempat di pemikiran anak-anak muda Malaysia.
Istilah-istilah dari barat ini menjadi teras perjuangan mereka. Tahun 2007 lalu muncul team pencerahan dalam PKR yang dikatakan ingin menguasai Angkatan Muda PKR tetapi gagal.
Jika benar apa yang dikatakan di atas, pencerahan ini dikonsepkan bukan daripada pemahaman agama tetapi daripada falsafah John Locke dan datang dari barat semata-mata.
Timbul tanda tanya, tiada lagikah contoh-contoh daripada sejarah Islam yang mampu diambil golongan ini ?
Orang PKR yang berfahaman liberal dan sosialis mula menyatakan situasi yang berlaku di Perak sekarang adalah proses pencerahan.
Pencerahan ini di Eropah yang seperti kita tahu adalah idea mereformasikan agama sehingga wujud Mazhab Kristian Protestan. Kegagalan mereka menggunakan istilah pencerahan pada tempatnya, mendorong Kumbang berfikir.
Adakah apa yang berlaku di Perak sama hebat dengan idea mereformasikan agama?
Istilah reformasi itu pun datangnya dari peristiwa Martin Luther yang membawa perubahan pada agama Kristian sehingga sesetengah mazhab Kristian dikatakan hilang identitinya menurut pandangan kawan Kumbang, Hilbrad yang beragama Kristian Roman Katolik. Adakah reformasi 1998 sehebat membawa perubahan kepada agama?
Ketuanan rakyat dan negara berkebajikan yang menjadi asas perjuangan golongan sosialis yang hampir pada fahaman komunis dan menjadi cogankata manifesto Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum yang lalu juga menimbulkan persoalan.
Kenapa PAS menerima dengan hati terbuka istilah ini dipakai dalam perjuangan mereka di dalam Pakatan Rakyat?
Kenapa PAS sekadar menerima sahaja penggunaan istilah ini tanpa memeriksa dari mana ia datang?
Kerana kesemua istilah ini bukan datangnya daripada agama. Tetapi ia datang dari falsafah sesetengah tokoh yang ingin membawa perubahan dan ada di kalangan mereka tidak mempercayai agama seperti Karl Max.
Adakah golongan ini ingin mengislamikkan istilah-istilah dan idea-idea ini ?
Kumbang pernah mengulas mengenai Khalid Jaafar yang pernah menyedekahkan Al-Fatihah pada seorang yahudi dan Kumbang terbaca mengenai beliau yang menyatakan pendapat bahawa jika yoga dimulakan dengan Bismillah senaman yoga itu pun akan jadi Islami walaupun yoga sudah difatwakan haram pada umat Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pemikiran liberal inilah yang menjadi tanda tanya kepada Kumbang.
Adakah semua perkara boleh diislamikkan?
Kumbang petik pernyataan daripada blog rakan Kumbang Pochong yang mengatakan :
"Terpengaruh dengan idea pencerahan dari barat, di Malaysia hari ini khususnya masyarakat islam yang berfikiran Liberal mereka mempunyai tanggapan golongan agama seperti Mufti dan Ulama merupakan golongan tidak berfikiran terbuka dan mempunyai pandangan yang sempit.
Justeru golongan ini giat mengadakan siri dialog dan seminar bagi meluaskan pemikiran mereka kepada umum."
Ketakutan sedang melanda Kumbang apabila melihatkan kesemua perkara ini.
Di kala kita mencari fahaman Islam yang benar-benar jitu.
Adakah kita akan terkeliru untuk mengenalpasti yang mana Islam sebenar. Kerana apa yang ada di barat sudah 'diislamikkan' sesetengah golongan.
Adakah nanti kita akan melihat masyarakat Islam kita menyedahkan Al-Fatihah kepada Muthu dan Ah Seng apabila mereka meninggal dunia?
Adakah nanti kita akan melihat anak-anak kita melakukan sesuatu yang melanggar akidah dan mereka mulakannya dengan Bismillah?
Adakah nanti kita akan menerima 1 mazhab Islam baru : gaya barat dan Amerika?Adakah pencerahan perlu pada orang Islam?
Adakah ini perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat?
Apa pandangan ahli dan penyokong PAS?
Anda sendiri fikir, kerana anda sendiri orang Islam.
Yang pasti Kumbang dalam ketakutan...
Pendapat anda bagaimana tentang isu ini?
sumber - analisisringan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan