RAKYAT Palestin mengadakan demonstrasi meminta pembebasan wartawan Iraq, Muntadar Al-Zeidi, di Bandar Gaza, semalam. Paparan sepanduk bermaksud, "Terima kasih untuk tangan kanan Muntadar Al-Zeidi". Al-Zeidi mencampakkan kasutnya ke arah Presiden George W Bush pada sidang akhbar di Baghdad, Ahad, lalu, sambil melaung dalam bahasa Arab: "Ini satu ciuman perpisahan, anda anjing, ini daripada balu-balu, anak-anak yatim dan mereka yang telah terbunuh di Iraq." - Foto AP
BAGHDAD: Rakyat Iraq dan negara Arab lain semalam menyambut dengan gembira berita Presiden George W Bush dilempar dengan kasut pada sidang akhbar di Baghdad kelmarin.
BERIBU-RIBU penunjuk perasaan menunjukkan kasut sebagai lambang bantahan mereka terhadap Bush di Baghdad, kelmarin.
Ramai di Asia Barat tidak menganggap insiden itu sebagai gurauan.
Sebaliknya ia adalah perbuatan seorang wira yang menggambarkan kebencian peribadi dikongsi ramai orang Arab terhadap pemimpin Amerika Syarikat itu yang dianggap bertanggung jawab ke atas pembunuhan, kacau-bilau dan penderitaan ditanggung bertahun-tahun oleh penduduk Iraq.
Rakaman memaparkan Bush mengelak ‘kasut terbang’ pada sidang akhbar di Baghdad itu diulang tayang di rangkaian televisyen satelit serantau dan menjadi saluran bagi orang Arab melepaskan geram terhadap Bush.
‘Padan muka Bush,’ kata seorang peniaga Jordan, Raed Mansi, di Amman.
“Saya harap dia faham maksud perbuatan itu iaitu beliau dibenci atas perbuatannya membunuh wanita dan kanak-kanak Muslim di Iraq, Afghanistan dan Palestin,” kata kontraktor berusia 52 tahun itu.
Membaling kasut ke arah seseorang adalah satu penghinaan besar dalam budaya Arab. Ia seumpama memberitahu seseorang: “Awak lebih hina daripada kotoran di tapak kasut saya.”
‘Kasut terbang’ itu menjadi imej terakhir Bush di Iraq sebelum berundur sebagai presiden 20 Januari ini.
Wartawan stesen televisyen Iraq, Muntadhar al-Zeidi yang melempar kasut berkenaan dan ditangkap oleh pihak berkuasa selepasnya, dianggap sebagai seorang wira di negara Arab.
“Semua rakyat Iraq harus bangga dengan lelaki berani ini. Sejarah akan selama-lamanya mengingati beliau,” kata seorang guru sekolah rendah di Baghdad.
Seorang profesor sains politik di Universiti An Najah di Tebing Barat, Abdel-Sattar Qassem menulis secara online dalam kolumnya:
“Bush mahu mengakhiri kepemimpinannya dengan pujian dan kata-kata aluan daripada konconya di negara Arab dan Islam.
“Tetapi kasut pula diterimanya daripada seorang lelaki Arab sebenar menandakan sejarah hitam Bush dan membolehkan orang Arab berasa bangga semula.”
Seorang pelajar berusia 23 tahun pula berkata di Kaherah: “Saya berulang kali melihat video kasut terbang itu di dalam You Tube dan berasa seronok setiap kali melihat (al-Zeidi) berdiri dan memanggil Bush anjing.
“Tetapi, sayang kasut itu tidak mengenai Bush,” katanya. - AP
sumber-Berita Harian
Al-Zeidi pernah ditawan militan, AS
BAGHDAD: Wartawan televisyen Iraq yang melempar kasut ke arah Presiden George W Bush pada sidang akhbar kelmarin pernah ditawan militan dan tentera Amerika Syarikat sebelum ini.
Muntadhar al-Zeidi, 28, lelaki Syiah yang masih bujang kini ditahan pihak berkuasa Iraq dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda.
Beberapa ribu orang semalam menyertai tunjuk perasaan di Baghdad dan beberapa bandar lain menuntut al-Zeidi dibebaskan.
Kasut yang dilempar al-Zeidi tidak mengenai Bush tetapi setiausaha akhbar Rumah Putih Dana Perino cedera di mata apabila terkena mikrofon dalam kekecohan yang menyusuli insiden berkenaan.
Sehari selepas itu, tiga saudara kandung lelaki dan perempuan al-Zeidi berkumpul di pangsapuri wartawan itu di barat Baghdad.
Ahli keluarganya bingung dengan perbuatan al-Zeidi dan bimbang terhadap keselamatannya ketika ditahan. Namun mereka berasa bangga terhadap perbuatannya yang membayangkan kebencian orang Arab terhadap presiden Amerika Syarikat itu.
“Demi Allah, adik saya adalah seorang wira,” kata kakaknya yang hanya mahu dikenali dengan nama samarannya Umm Firas (ibu kepada Firas, anak sulungnya).
Keluarganya berkata perbuatan al-Zeidi tidak dirancang, tercetus oleh penderitaan yang dilihat wartawan itu setiap hari ketika membuat liputan di sekitar Iraq.
Al-Zeidi mula bertugas di stesen televisyen Al-Baghdadia pada September 2005 selepas lulus daripada Universiti Baghdad dengan ijazah sarjana muda komunikasi. - AP
sumber-Berita Harian
1 ulasan:
Assalamualaikum,
Kalau ada pisau di tangan
dan Allah mengizinkan
Tikaman pasti kena di badan
Catat Ulasan