Abdul Rahim Sabri | Nov 27, 08 1:37pm
Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terkilan dengan kelewatan perbicaraan kes tersebut.
Bercakap kepada pemberita selepas hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pagi ini, Mohd Saiful berkata:
"Saya bersemangat menunggu perbicaraan, walaupun terkilan dengan kelewatan tarikh untuk dibicarakan.
"Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat saya," tambahnya.
Sebelum ini, Mohd Saiful ditemani peguamnya, Zamri Idrus hadir di pejabat JAWI.
Mohd Saiful bagaimanapun, berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai tujuan dia ke JAWI pagi ini.
Dia juga berdoa agar kes perbicaraan itu berjalan lancar, sambil menambah, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.
Mohd Saiful juga menafikan dia kini berada di bawah perlindungan polis.
Rayuan pendakwa
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk berdepan perbicaraan tersebut, dia berkata: "Saya telah bersedia".
Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun lepas.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan bon peribadi RM20,000.
Pada 7 November, Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy Suppiah menolak permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi selepas memutuskan sijil pemindahan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.
Pihak pembelaan mencabar kesahihan sijil pemindahan kes itu kerana Abdul Gani sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) susulan laporan yang dibuat oleh Anwar, mendakwa Abdul Gani memalsukan keterangan dalam kejadian "mata lebam" Anwar semasa dalam tahanan polis pada 1998.
Pihak pendakwa memfailkan permohonan bagi semakan dan juga rayuan terhadap keputusan itu atas alasan Abdul Gani hanya menjalankan tugas pentadbirannya dan bukannya tugas kehakiman atau separa kehakiman semasa menandatangani sijil itu.
Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar pada 5 dan 6 Februari depan untuk mendengar permohonan pihak pendakwa itu.
Sementara itu, Mohd Saiful ketika ditanya mengenai aktiviti yang dilakukan sekarang, beliau menjawab:
"Saya sedang berehat dan tenangkan fikiran," tambahnya.
sumber-Malaysakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan