Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tarikh baru yang diumumkan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan baru sebelum Hari Raya Aidiladha Disember ini sebagai satu kenyataan yang tidak boleh diterima dan mengarut.
"Pembangkang selalu bercakap untuk ambil alih kuasa, tapi mereka tak pernah berjaya," kata Perdana Menteri selepas menyampaikan ucaptama pada The 2008 U.S Islamic World Forum di sini hari ini.
Tegas Abdullah, pihak pembangkang akan terus bercakap mengenai matlamat mereka untuk mengambil alih kerajaan kerana melaluinya mereka dapat menarik minat masyarakat.
"Inilah caranya untuk mereka menarik minat orang ramai supaya percayakan mereka," katanya.
Jumaat lalu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan sasaran baru untuk menubuhkan kerajaan pada Disember ini selepas mereka gagal menubuhkan kerajaan pusat pada 16 September lalu.
Perdana Menteri juga beranggapan tindakan pembangkang itu sebagai sesuatu yang membuang masa kerana pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak akan meninggalkan parti itu.
"BN menang dalam pilihan raya umum yang lalu, kami ada kerja dan tanggungjawab untuk dilaksanakan.
"BN juga telah diberikan kepercayaan oleh rakyat dengan majoriti yang besar, jadi kami akan berusaha apa sahaja untuk bangunkan negara," katanya.
Abdullah juga berkata, pemimpin BN tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh parti dengan bertindak menyertai pembangkang.
"Ini peluang yang diberikan kepada parti untuk mentadbir, jadi mengapa mereka nak tinggal BN untuk sertai pembangkang?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan