PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah menjadi satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.
Perdana Menteri berkata tindak tanduk Anwar selama ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik tetapi juga kestabilan ekonomi.
"Ekoran tindak tanduk Anwar itu, terdapat pengurus dana yang membuat laporan kononnya Malaysia bukan tempat yang baik untuk membuat pelaburan kerana suasana politik negara yang tidak menentu," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, Rabu.
Ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan terhadap Anwar ekoran ancaman tersebut, Abdullah berkata kerajaan akan melakukan apa yang perlu.
Abdullah berkata Anwar telah banyak membuat pembohongan mengenai kedudukan ekonomi negara termasuk kononnya tiada kemasukan pelaburan asing langsung (FDI), dan negara tidak mempunyai daya saing.
Sebaliknya, Abdullah berkata, FDI sebenarnya masih mengalir ke dalam negara ini, malah Malaysia merupakan antara negara yang diminati oleh pelabur.
Timbalan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan, dan yang turut hadir pada sidang akhbar itu, mencelah dengan berkata kadar pelaburan tahun ini mungkin lebih tinggi dari tahun lepas.
Mengenai kedudukan daya saing negara pula, Abdullah berkata Malaysia mencatatkan kedudukan lebih baik dari tangga ke-23 kepada tangga ke-19 sekarang.
"Anwar mahu melingkupkan negara dan mengekploitasi kepercayaan orang dan memperlecehkan negara di luar negeri," kata Perdana Menteri.
Najib juga berkata permainan politik Anwar boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.
Najib meminta orang ramai agar tidak menjadi mangsa kepada mainan politik Anwar itu.
"Liputan media juga janganlah terperangkap dengan mainan politik itu kerana ia boleh memberi kesan psikologi," katanya.
Beliau juga berkata mainan politik itu hendaklah dihentikan dengan segera.
Abdullah juga mengulangi kenyataannya enggan berjumpa dengan Anwar walaupun diminta oleh Anwar kerana bimbang kenyataannya akan diputar belitkan oleh Anwar.
Abdullah menafikan terdapat surat peralihan kuasa yang dihantar oleh Anwar kepadanya.
"Tidak ada langsung, bayang pun tidak ada," katanya.
Abdullah menjelaskan surat yang dihantar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepadanya pada Isnin lepas hanya menyentuh soal keselamatana negara, masalah moral dan politik negara.
"Yang kait dengan peralihan kuasa tidak ada. Jadi dia bohong rakyat dan ini untuk mengelirukan rakyat," katanya.
sumber - Bernama
3 ulasan:
Kepada Saudara Anwar,
Sudah-sudahlah bersungguh-sungguh membuat pelbagai spekulasi mengenai pertukaran kerajaan di bulan ramadan yang mulia ini. Bulan ini bulan untuk beribadat bukan bulan menipu rakyat. Bulan ini muslim mesti bermuafakat bukannya memecah belah sesama umat. Bulan ini tinggi nilainya di sisi Allah, jangan di cemari bulan yg mulia ini dengan fitnah. Kalau perjuangannya diberkati Allah pastinya bulan ini akan memberi rahmat tp nampaknya mimpi Anwar takkan tertunai sampailah kiamat. Hindarkanlah kami daripada di jajah pengkhianat agama dan bangsa ini. Amin
Datuk Seri Anwar Ibrahim, anda belum lagi menjadi Perdana Menteri, tetapi anda telah banyak menimbulkan banyak suasana yang begitu menakutkan dan yang meresahkan kami. Jadi bagaimana pula nanti jika anda sudah mendapat kuasa, mungkin anda akan berbuat sesuka hati terhadap undang-undang dan tidak mungkin keselamatan rakyat akan terjamin. Apa yang paling baik sekarang, ialah anda tumpukan saja kepada pembangunan serta permasalahan rakyat di kawasan anda di Permatang Pauh. Anda boleh tunggu PRU13 nanti, kita negara demokrasi..rakyat boleh memilih wakil masing-masing bila tiba masa pilihanraya. Dapatkan kuasa dengan cara yang bersih, jangan merampas kuasa yang diberikan oleh rakyat melalui wakil-wakil mereka,itu hak rakyat. Pada bulan yang mulia seperti ini, perkara seperti ini tidak seharusnya wujud. Sepatutnya dalam bulan Ramadhan seperti ini, anda seboleh-bolehnya janganlah terlalu berpolitik, yang sebaik-baiknya lah, kerjakan amal ibadat.
Sekiranya bulan terang atau gelap...harap masaalah ini boleh diselesaikan....Jika ada MP mau lompat, silakanlah..jangan tunggu lagi..Kenapa jawatan menteri kewangan and pertahanan boleh dipindah milik? Sila beri jawapan...terima kasih
Catat Ulasan