Oleh: ROSLAN BIAN DAN LUKMAN ABDULLAH
Hampir 100 orang wartawan dan jurugambar hadir.Biasanya kehadiran sebesar itu pada sesuatu sidang akhbar awal-awal mencetuskan andaian adalah berita besar bakal meletup.
Apa tidaknya ini hari istimewa…16 September. Suasana gairah itu jelas terpancar pada wajah mereka ketika mereka bersesak di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya awal petang Selasa untuk mendengar ‘ berita besar’ semasa menghadiri sidang Datuk seri Anwar Ibrahim di situ.
Selain para wartawan dan jurugambar kira-kira 100 orang penyokong PKR berkumpul di luar bangunan ibupejabat itu.
Namun akhirnya ia seperti apa yang disimpukan oleh seorang wartawan sebuah akhbar berbahasa Inggeris , “ different day…but same story”.
Banyak lagi komen-komen ‘ menyumpah’ yang kedengaran dikalangan para wartawan yang hadir.Ada yang kata rasa macam ‘ kena main’ oleh Penasihat PKR itu.
Jangan kata berita besar kalau nak kira sempena dengan hari yang penentuan yang Anwar gembar gemburkan selama ini habuk pun tak ada yang baru.
Ini lebih-lebih kagi mengenangkan pada kenyataan Ketua Penerangan PKR Tian Chua Isnin bahawa Anwar akan umum nama 32 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional yang nak melompat semasa sidang akhbar itu.
itulah sebenarnya yang semua orang nak dengar.Adakah 32 orang itu dan siapa mereka?
Anwar bukan saja tak umum nama sesiapapun tetapi membawa para wartawan ‘ pusing keliling’ bila berkali-kali ditanya mengenainya.
Beliau sebaliknya dengan bijak menyusun ayat untuk mengambarkan seolah semua mereka sudah set nak melompat dan kerajaan mungkin akan aniaya mereka bila tahu siapa mereka.
Bila diminta angka yang betul,Anwar berkata setakat ini angka sudah lebih 31 orang yang diperlukan.
Diminta pula sebut nama mereka semua beliau berkata , “kalau umum mereka akan ditangkap sertamerta.”
Menurut Anwar beliau hanya akan dedah senarai nama mereka itu dalam perjumpaan dengan Perdana Menteri untuk merundingkan penyerahan kuasa secara aman dan teratur.
Untuk memberi gambaran seolah semua on track tetapi kemungkinan ada sekatan tertentu ,Ketua Pembangkang itu meminta kerajaan tidak guna ISA tahan mana-mana Ahli Parlimen yang lompat parti.
Katanya kerajaan juga tidak harus guna kuasa darurat, guna kuasa polis atau gantung perlembagaan mahupun bubar parlimen dalam usaha halang cita-cita pembangkang berkuasa.
Ditanya sekiranya beliau gagal jumpa Perdana Menteri ,Anwar kata beliau bincang dengan barisan pembangkang mengenai pilihan lain untuk ambilalih kerajaan.
Peliknya dalam sidang media kali ini yang sepatutnya ‘ hari besar’ tiada tokoh-tokoh besar pembangkang yang hadir.
PAS diwakili oleh Setiausaha Agung Datuk Kamaruddin Jaafar dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli yang diketahui umum memang pro Anwar.
DAP hanya diwakili oleh Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai.
Nampaknya semakin hari Anwar semakin hilang tarikh bila nak amblihalih kuasa.- 16/9/2008
Malam D-Day kononnya nak berkuasa…Anwar tampil dengan ‘ skrip baru’
Bagi lebih 12,000 penyokong pakatan pembangkang yang hadir di Stadium Kelana Jaya Isnin malam…malam ini adalah malam penentuan.Harapan mereka tinggi mengunung untuk mendengar bukti dan fakta ‘yang boleh diterima akal’ menjelang pengistiharan kerajaan 16 September.
Namun seperti yang sudah dijangkakan mereka semua tetap pulang melopong diambang kononnya barisan pembangkang akan tawan Putrajaya Selasa menerusi tindakan para Ahli Parlimen Barisan Nasional melompat parti.
Apapun Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap bergaya dan tidak menghampakan mereka apabila beliau tampil dengan 'skrip baru' yang dipercayai untuk menutup malunya tidak dapat mengotakan gembar gembur yang sudah didendangkan selama enam bulan lamanya.
Beliau mengakui pelan 16 September untuk mengambil alih kerajaan terpaksa diubah.
Setelah sekian lama mendakwa beliau sudah ada the numbers yakni jumlah Ahli Parlimen BN yang cukup…jalan cerita terbaru Penasihat PKR itu ialah beliau akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi meminta perubahan kuasa kepadanya dilakukan secara aman dan teratur.
Ini bermaksud kini kerajaan Barisan Nasional yang ada 140 kerusi di Parlimen berbanding 82 kerusi pembangkang terpaksa tunduk kepada kehendaknya.
Jalan cerita itu tetap disertai dengan dakwaannya kononnya angka Ahli Parlimen BN yang diperlukan sudah cukup.
Bagaimanapun, dalam ucapannya hampir sejam di majlis Sambutan Hari Malaysia ke 45, itu, Anwar tidak menyebut langsung berapa jumlah ahli parlimen Barisan Nasional yang sudah set nak lompat dan siapa mereka.
Kata barisan pembangkang sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri yang ditandatangan beliau, penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.
“Siang tadi (Isnin) wakil PAS, PKR dan DAP sudah ke Putrajaya ke pejabat PM dan serah surat minta pertemuan segera. Kita minta perundingan ini, kerana kita mahu perubahan ini dibuat dengan aman dan teratur.
“Kenapa saya dan ketiga-tiga kami berani menulis dan menandatangani surat bincang masa depan negara?...Ini kerana kita sudah ada jumlah yang cukup dan sedia,” katanya.
Anwar turut menjadikan pemergian para Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ke Taiwan dan penahanan Ahli Parlimen DAP Seputeh yang juga Exco kerajaan Selangor, Teresa Kok di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai alasan pelan 16 September tidak jadi kenyataan.
“Kenapa 16 (Sept) tak jadi, macam mana nak jadi, sebab mereka bawa pelari ke Taiwan, seorang masuk tahanan ISA, kita ada 82 (ahli parlimen) dah kurang satu..Teresa Kok hilang. Tapi saya nak jelaskan, kita ada cukup jumlah nak kalahkan BN,” katanya.
Menurut Anwar, kenapa pembangkang tidak ubah kerajaan esok (16 Sept) adalah kerana tidak mahu memaksa mengheret mereka yakni kerajaan BN di Putrajaya turun.
“Sebab itu kita memilih untuk berunding dengan Datuk Dollah (Abdullah). Ini jumlahnya, ini kekuatan kita…bagaimana? ..nak seminggu (serah kerajaan)…nak dua minggu,” katanya.
Anwar turut menabur janji akan menurunkan 30 sen harga minyak pada hari sama pembangkang mengambil alih kerajaan, membebaskan semua tahanan ISA manakala 20 peratus royalti minyak akan diserahkan kepada Sabah dan Sarawak.
Pembangkang juga katanya ada memberi cuti umum pada 16 September sempena sambutan Kebangsaan selain cuti umum 31 Ogos bagi sambutan Kemerdekaan.
Apa yang jelas, majlis malam tadi tidak lain dan tidak bukan digunakan Anwar bagi menjelaskan kenapa pelan 16 September atau 916 yang disebut Kit Siang tidak jadi kenyataan.
Walaupun mendapat tepukan gemuruh orang ramai di stadium yang boleh memuatkan 30,000 orang itu, yang jelas 60 peratus daripada 12,000 yang hadir adalah masyarakat Cina.
Ini mengingatkan pada apa yang pernah dikatakan Naib Presiden PAS, Mat Sabu sebelum ini, bahawa Anwar sebenarnya hanya berjaya menarik pengundi Cina dan India sahaja.
Satu ketika dalam ucapannya, Anwar menyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng lebih taqwa berbanding orang UMNO.
Maka tidak hairanlah apabila mereka yang jawab pertanyaan apa khabar oleh Anwar lebih ramai berbanding yang menjawab salamnya.
Majlis malam tadi walaupun atas nama Sambutan Hari Malaysia, tetapi tumpuan ucapan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Anwar sendiri banyak berlegar soal mansuhkan ISA.
Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng umpamanya menyentuh mengenai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang letak jawatan kerana tidak sokong kerajaan melaksanakan ISA.
Sambil menyebut peribahasa mayarakat Tionghua mengenai ‘tukar langit’ , Kit Siang berkata, sudah tiba masa rakyat menukar kerajaan melalui pelan 916 bagi menghapuskan ISA.
Turut berucap di majlis itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku tuan rumah sambutan.
Pihak penganjur telah menyediakan 1 juta bendera jalur gemilang dan 1 juta gelang tangan getah untuk diedarkan kepada mereka yang hadir.
Ikut ceritanya Anwar akan bagi sidang akhbar khas di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya pagi Selasa.
Apa pula skripnya pada hari yang sepatutnya jadi D-Day iaitu 16 September ? - 15/9/2008
sumber - Agendadaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan