oleh Ahmad Lutfi Othman
Apabila Anwar dilantik menjadi Menteri Kewangan, golongan yang pernah bersamanya dalam ABIM dahulu tidak terlalu mengharapkan Anwar dapat mengemukakan projek pembangunan dan kewangan yang Islamik secara menyeluruh. Apa yang mereka rasakan, paling kurang Anwar dapat mengawal, mengurang dan seterusnya menghapuskan aktiviti perjudian yang sepenuhnya di bawah Kementerian Kewangan.
Subky Latif pernah mengulas hal ini, Harakah, 18 Mac 1991: “Mungkin dulu sebagai budak sekolah dan sebagai tokoh Pemuda Umno, maka mudah bercakap untuk mengharamkan judi dan memansuhkan riba. Tetapi sebagai Menteri Kewangan tidaklah boleh bercakap sebagai budak sekolah dan sebagai Ketua Pemuda. Setakat ini tidak ramai yang percaya Anwar akan mengaharamkan judi. Bukan dia tidak mahu tetapi tidak terdaya untuk melaksanakannya kerana Umno tidak berpendirian begitu. Jika lesen judi diteruskan juga maka samalah dia dengan saudagar judi dan kaki judi.”
Timbalan Yang Dipertua PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang membangkitkan isu judi ini pada Disember 1992 dan meminta Anwar menyatakan jenis-jenis perjudian yang diberi lesen oleh Kerajaan Pusat untuk menjalankan oiperasinya mengikut pecahan negeri. Hal ehwal perjudian sepenuhnya terletak di bawah Kementerian Kewangan.
Wakil Anwar iaitu Timbalan Menteri menjawab sebanyak lapan jenis judi telah dikeluarkan kepada semua negeri, kecuali Kelantan. Antara lesen-lesen judi yang telah diberikan lesen oleh Kerajaan Pusat ialah Lesen Pertaruhan Empat Nombor Ekor, Lesen Pertaruhan Ramalan 3D, 1-3D dan Loteri Sweepstakes, Lesen Pengendalian Mesin Slot kepada Kelab-kelab Syarikat dan Kelab-kelab Persatuan, Lesen Kasino di Genting Highland, Lesen Pertaruhan Nombor Ramalan 4D, 3D dan Lotto dan Lesen Pertaruhan Nombor Kuda.
Menurut Ustaz Abdul Hadi, apa yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan itu memperjelaskan lagi sikap kerajaan yang menolak syariat Islam walaupun mereka bercakap mahu kepada Islam, sebaliknya mengambil kira kepentingan dari sudut ekonomi yang sempit. “Jelaslah di sini Kelantan yang dikuasai Barisan Nasional judi terus berleluasa,” tegas Ustaz Abdul Hadi.
Semasa membentangkan ucapan dasar selaku Presiden ABIM, pada Ogos 1980, Anwar menegaskan: “Sebarang percubaan untuk meletakkan Islam kepada suatu sistem yang masih membenarkan riba dan arak, pemerasan dan perjudian adalah suatu penghinaan terhadap Islam.”
Bagi ahli-ahli Parlimen PAS tentunya prihatin dengan sikap yang langsung tidak menunjukkan keazamannya untuk menghapuskan judi tetapi lebih menarik ahli-ahli Parlimen DAP turut terkejut dengan sikap Anwar itu.
Ketika membahaskan Belanjawan 1993, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Choo Keong menegaskan: “Apa yang patut dibuat oleh kerajaan ialah mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas PERJUDIAN untuk syarikat-syarikat seperti Magnum, Sport Toto, Big Sweep dan lain-lain yang sentiasa memperolehi keuntungan besar dengan senangnya. Akan tetapi selama dua tahun berturut-turut di bawah YB Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan, perjudian telah dikecualikan daripada sebarang penambahan cukai.
Perkara ini seandai menggambarkan dengan jelas bahawa YB Dato Seri Anwar Ibrahim amat menyokong perjudian. Dakwaan yang beliau adalah seorang pemimpin Islam hanyalah topeng untuk memperbodohkan rakyat jelata sahaja.”
Dalam kenyataan seterusnya Wee percaya, “bahawa semua rakyat mengetahui bahawa PERJUDIAN mendatangkan bencana untuk masyarakat dan sebenarnya telah memecahbelahkan banyak keluarga. Dalam hal ini Kerajaan Barisan Nasional sepatutnya mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi untuk perjudian bagi mencegah aktiviti-aktiviti ini dalam negara kita. Sebaliknya, jelas hari ini sehingga ini, Kerajaan BN sedang menggalakkan industri perjudian untuk berkembang. Kita semua tahu kenapa Kerajaan BN tidak menaikkan kadar cukai ke atas PERJUDIAN.
Saya pasti semua rakyat mengetahui tentang hubungan di antara YB Dato Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan dan YAB Dato Seri Dr Mahathir, Perdana Menteri dengan Tan Sri Vincent Tan dan Encik Ananda Krishnan. Kita juga tahu bahawa baru-baru ini YB Dato Seri Anwar Ibrahim pergi ke Johor Baharu dengan helikopter untuk perasmian persidangan Umno Baru Johor.
Saya percaya bahawa Tan Sri Vincent Tan telah menyewakan helikopter tersebut untuk beliau. Saya telah diberitahu oleh sumber yang boleh layak dipercayai bahawa Tan Sri Vincent Tan telah dikurniakan tanah konsesi yang sangat besar di Pulau Redang dan Pulau Tioman dengan harga yang murah. Saya juga telah dimaklumkan bahawa selepas itu Tan Sri Vincent Tan telah menjualkan tanah-tanah konsesi di dua pulau ini kepada Berjaya Group of Companes dengan harga beberapa ratus juta ringggit. Daripada kenyataan di atas, kami dapat melihat dengan jelasnya kenapa kerajaan tetap enggan untuk mengenakan kadar cukai yang tinggi untuk industri PERJUDIAN walaupun kebanyakan rakyat membenci perjudian.”
Wee seterusnya menyifatkan Wawasan 2020 hanyalah slogan bankrap seperti slogan-slogan kosong BERSIH, CEKAP DAN AMANAH dan TRADISI MEMBELA RAKYAT: “Apabila slogan-slogan tersebut telah diumumkan oleh YAB Dato Seri Dr Mahathir pada masa itu, Rasuah, Penyalahgunaan Kuasa dan Nepotisme terus berkembang dan digalakkan.
Contohnya ialah skandal BMF RM2.5 bilion, EPF Makuwasa, Projek UEM Lebuhraya Utara Selata, skandal sepuluh juta saham Telekom dihijack oleh Presiden MIC, jualan beratus-ratus ekar tanah yang berharga di Bukit Kiara kepada Tan Sri Vincent Tan dan sebuah syarikat di Singapura yang bernama Lum Chang Holdings Ltd untuk lebih kurang satu juta ringgit seekar.”
Beliau kemudiannya merujuk kepada kenyataan Anwar semasa membentangkan belanjawan itu. Anwar berkata: “Kita juga perlu lebih peka dan waspada terhadap perebutan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kerajaan mempunyai tanggungjawab menjaga kewibawaan dan melindungi imej bersihnya dan tidak akan membiarkan seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit.”
Wee menegaskan: “Kenyataan itu kedengarannya seperti semasa beliau menjadi pemimpin ABIM. Ramai orang mengetahui bahawa YB Dato Seri Anwar Ibrahim telah tidak percaya kepada prinsip yang diucapkan itu. Ia sekadar “melepaskan batuk di tangga” sahaja dan untuk memperbodohkan rakyat. Biarkan saya menasihatkan beliau bahawa dengan izin “you can fool some of the people some of the time but not all the people all the time”.
Wee Choo Keong seterusnya mempersoalkan Anwar: “Jika YB Menteri Kewangan menganggap beliau bersih, saya harap beliau dapat jawab perkara-perkara berikut:
1. JUALAN TANAH YANG UTAMA DI BUKIT KIARA DENGAN HARGA “GIVE AWAY”
Lebih daripada 500 ekar tanah yang utama telah dijual kepada pelabur-pelabur swasta dengan harga “Jualan Murah”. Saya telah dimaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjual lebih kurang 270 ekar tanah di Bukit Kiara kepada Bukit Kiara Equestrian Club, dengan harga kurang daripada RM30 ribu seekar sedangkan harga pasaran tanah tersebut adalah lebih kurang RM1 juta seekar. Tanah yang utama ini telah dijualkan oleh DBKL kepada Tan Sri Vincent Tan tanpa terlebih dahulu mendapat laporan penilaian dan tawaran terbuka. Kenapa YB Dato Seri Anwar Ibrahim membenarkan jualan tanah tersebut di Bukit Kiara dengan harga yang begitu rendah? Dalam lain perkataan ia seolah-olahnya diberikan percuma. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Pengerusi bagi Jawatankuasa Anti Penyelewengan. Kenapa beliau mebutakan matanya dalam kes jualan tanah ini sedangkan ia menjejaskan kepentingan orang ramai? Kenapa beliau tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyiasat skandal jualan tanah tersebut? Tindakan untuk menyiasat skandal jualan tanah tersebut? Adakah kerana beliau telah diberikan keahlian dengan percuma untuk Bukit Kiara Equestrian Club? Atau beliau telah diberi konsesi yang istimewa untuk menunggang kuda di kelab tersebut. Adalah menjadi rahsia terbuka bahawa YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan YAB Dato Seri Dr Mahathir Mohamad adalah ahli-ahli yang kerap mengunjungi kelab tersebut dan menunggang kuda di kelab tersebut.
Bahkan, semua orang tahu bahawa YB Dato Seri Anwar Ibrahim pernah mendapat kecederaan leher apabila beliau jatuh dilempar daripada kuda di kelab tersebut? Agaknya kuda pun tahu skandal ini dan ingin mengajar Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Anti Penyelewengan yang tidak menjalankan tanggungjawab? Dalam belanjawan ini, duti untuk alat-alt bagi menunggang kuda telah dihapuskan. Adakah orang-orang kampung atau penaja di bandar yang miskin dapat manfaat daripada dasar ini? Maka jelas, YB Menteri Kewangan hanya berminat menggunakan kedudukannya untuk kepentingan dirinya sahaja.
2. JUALAN LEBIH KURANG 365 EKAR TANAH YANG UTAMA DI BUKIT KIARA KEPADA SEBUAH SYARIKAT SUBSIDIARI YANG DIASASKAN DI SINGAPURA.
365 ekar tanah di Bukit Kiara telah diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dengan harga yang sangat murah untuk tujuan tunggal bagi “National Cemetery”. Kemudiannya kerajaan telah menjualkan tanah tersebut kepada DBKL dengan harga RM59, 725.00. Pada 6 Jun 1991 DBKL telah menandatangani satu perjanjian pajakan selama 96 tahun untuk 365 ekar tanah yang berharga di Bukit Kiara kepada Kuala Lumpur Golf and Cuntry Club Sdn Bhd (KLGCC) dengan harga RM59, 725.00 seekar untuk tanah tersebut, tepat dengan harga yang sama seperti kerajaan menjualkan kepada DBKL bertahun-tahun yang lalu. Mestilah diambil perhatian bahawa DBKL telah menjual tanah tersebut dengan harga RM 59,725 seekar tanpa terlebih dahulu mengadakan tawaran terbuka atau laporan penilaian. Perjanjian tersebut telah dibuat secara rahsia tanpa mendapatkan nasihat undang-undang daripada Peguam Negara.
99 peratus KLGCC adalah dimiliki oleh sebuah syarikat yang dipanggil Solarvest Sdn Bhd (Solaverst). Solaverst adalah sebahagian daripada Lum Chang Holdings Ltd (Lum Chang), sebuah syarikat Singapura. Pengarah Urusan KLGCC dan Solarvest ialah Encik David Lim Kok Seng yang beralamat di 20, Cherry Anenue, Singapura 1027. Beliau juga adalah Pengarah Pengurus Lum Chang di Singapura. Dengan izin, “issued and paid up capital” KLGCC adalah hanya RM10 juta dari Solarvest adalah hanya RM2 juta. Oleh yang demikian jumlah wang yang dilaburkan oleh Lum Chang, Singapura ialah RM12 juta sahaja. Pada 26 Februari 1992, KLGCC/Lum Chang Singapura telah mengutip wang berjumlah RM48.86 juta.
Yuran keahlian untuk kumpulan kedua adalah RM 100 ribu setiap orang dan ia hanya ditawarkan dibuka untuk 300 orang pemohon-pemohon, Ini bermakna bahawa Lum Chang Singapura akan mengutip wang berjumlah RM30 juta lagi. Dengan mengambil lebih banyak ahli-ahli, Lum Chang Singapura tidak perlu sebarang modal untuk membina kelab golf tersebut, Lum Chang Singapura tentu mendapat keuntungan beratus-ratus juta ringgit.
Lum Chang Singapura juga telah memohon kepada DBKL untuk membina 901 unit Resort Suites Condominium di atas 365 ekar tanah tersebut di Bukit Kiara. Pada 7 Mac 1992, DBKL masih belum meluluskan pembinaan 901 unit Resort Suites Condominium.
Berdasarkan Perjanjian Pajakan dan Perjanjian Tambahan Pajakan kedua-duanya bertarikh 6 Jun dan Perjanjian Tambahan Pajakan kedua-duanya bertarikh 6 Jun 1991, tiada peruntukan untuk membina sebarang Resort Suites di atas 365 ekar tanah tersebut. Saya tidak faham bagaimanakah Lum Chang dapat memohon untuk membina 901 Resort Suite, sedangkan perjanjian pajakan hanya memperuntukkan pembinaan padang golf? Jualan tanah tersebut adalah penuh dengan desas- desus (Scandalous) dan adalah sangat jelas bahawa ada seseorang yang mendapat jumlah wang rasuah (kick – back) berjuta-juta ringgit yang ditanggung dalam perbelanjaan negara ini.
Sebagai seorang warganegara Malaysia, saya berasa amat sedih dan malu kerana Kerajaan Persekutuan sanggup untuk membenarkan tanah utama kita dijualkan kepada orang asing dengan harga kos tanpa mengambil kira kos pegangan; lain-lain kos dan harga pasaran. Lebih teruk lagi apabila kita mendapat tahu yang rakyat asinglah paling banyak mengaut keuntungan daripada penyelewengan ini.
Mestilah diambil perhatian bahawa harga pasaran tanah tersebut pada masa itu adalah dalam lingkungan RM1 juta seekar. Oleh yang demikian, kerajaan dan negara kita mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM300 juta dengan satu ‘gerakan pen” pada 6 Jun 1991 iaitu hari di mana perjanjian pajakan ditandatangani.
Ingin saya bertanya kepada YB Dato Seri Anwar Ibrahim, bagaimanakah beliau tidur dengan nyenyak pada malam hari,sedangkan pada siang hari beliau menyebutkan kata-kata seperti “kerajaan mempunyai tanggungjawab menjaga kewibawaan dan melindungi imej bersihnya dan tidak akan membiarkan seekor kerbau membawa lumpur hampir semua terpalit”?
Bukankah kerbau yang membawa lumpur itu beliau sendiri yang membenarkan orang asing merompak tanah berharga negara kita dengan terang-terang di depan mata beliau? Biarkan saya memberitahu YB Menteri Kewangan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Anti Penyelewengan bahawa “jika beliau tidak dapat memberhentikan dengan izin scandalous land transactions ini, beliau lebih baik lupakan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri kerana beliaulah yang sepatutnya disiasat atas hubungannya dengan pelbagai penyelewengan yang berlaku.”
Saya juga ingin bertanya YB Menteri Kewangan kenapakah sistem mass transit di Kuala Lumpur diberikan kepada Lum Chang tanpa tawaran terbuka? Sama ada Kerajan BN atau Menteri Kewangan sendiri ada kepentingan dalam syarikat asing, Lum Chang oleh kerana kerajaan menjualkan tanah utama di Bukit Kiara dengan harga yang paling rendah dan juga menawarkan kontrak sistem mass transit berharga RM6 bilion?
3. SKANDAL TAN SRI MUHAMMAD MUHD TAIB – JUALAN TANAH SELUAS 400 EKAR
Pejabat Tanah Daerah Petaling, Selangor telah diarahkan untuk menjual sekeping tanah pada 13 Mac 1992 seluas 161.874 hektar (400 ekar) di Bukit Cerakah, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling. Tanah ini dijual kepada sebuah syarikat dengan harga RM1 ribu sehektar. Ini bermakna tanah tersebut hanyalah lebih kurang 10sen sekaki persegi. Hari ini sebatang rokok pun tidak boleh dibeli dengan harga 10 sen, apatah lagi sekaki persegi tanah. Alangkah lucunya bila kita mendengar sebuah kerajaan negeri menjual tanah bernilai 10 sen sekaki persegi. Bukankah ini suatu jualan murah yang termurah di dekad ini? Bukankah ini satu contoh rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan?
Tanah ini sedang ditawarkan untuk dijual kepada banyak syarikat. Harganya telah meningkat iaitu RM4 sekaki persegi. Ini bermakna keuntungan sebanyak RM60 juta akan dibuat dengan satu “leretan pen” sahaja. Jelas yang untung bukannya kerajaan negeri atau rakyat jelata tetapi orang tertentu yang menyalahgunakan kuasanya. Saya dimaklumkan yang Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah meluluskan tanah ini untuk dijualbeli. Keuntungan penjualan ini dikatakan akan dikaut oleh dirinya sendiri bagi tujuan kempen pilihanraya Umno baru tahun depan. Ini adalah satu lagi kes yang amat terang tentang salah laku dan penyelewengan yang menjadi amalan biasa Kerajaan Barisan Nasional. Jangan mimpi Wawasan 2020 akan berjaya kerana slogan Bersih, Cekap dan Amanah telah lama dipijak-pijak oleh pemimpin –pemimpin Barisan Nasional sendiri.”
Segala persoalan yang dibangkitkan oleh Wee ini tidak pernah dijawab secara menyeluruh oleh Anwar. Ia tentu membangkitkan banyak lagi persoalan mengenai kewibawaan Anwar mengendalikan khazanah kekayaan negara. Apakah Anwar yang sudah mula berkawan rapat dengan tokoh-tokoh korporat lupa nasib rakyat terbanyak yang memerlukan pembelaan? Apakah amaran yang pernah diberikan oleh ABIM di bawah pimpinan Anwar dulu kini boleh digemakan kembali kepada Anwar? Cubalah saudara pembaca sendiri mangkaji dan merenung amaran dan penegasan ABIM itu:
“Di bidang ekonomi kita juga menyaksikan keadaan yang tidak kurang ngerinya. Segolongan manusia gagah memeras golongan manusia-manusia kerdil. Kelopok kecil orang-orang gagah inilah sahaja yang sebenarnya telah dapat menikmati kehidupan mewah, sedang jutaan rakyat buruh, petani dan nelayan hanya menerima debu-debu kemakmuran, upah murah dan pendapatan rendah. Mereka terbelenggu dalam sistem ekonomi riba yang berganda-ganda, dicekik oleh orang tengah, inflasi, banjir dan kemarau.
“Pembangunan ala kapitalis yang bersifat urban bias telah mengabaikan majoriti rakyat di perdesaan kerana pembangunannya terlalu menumpu ke bandar. Namun begitu kehebatan pembangunan kota rupa-rupanya tidak juga untuk semua. Sebaliknya hanya untuk segelintir manusia sedang jutaan yang lain tersudut di kawasan-kawasan sesak dengan “rumah-rumah haramnya” yang sentiasa cemas diancam raksasa bernama buldozer bandaraya. “Kehidupan kota” dengan segala rempah ratusnya menampilkan gambaran yang penuh dengan jurang pertentangan yang mewah dan yang melarat, yang gagah dan yang lemah dan seterusnya yang semuanya menandakan matinya nilai keadilan. Kehidupan desa pula menampilkan gambaran yang serba lesu dan sayu, terlantar dan terbiar.”
Tidak cukup dengan itu atau mungkin Anwar ketawa sahaja membaca pendirian ABIM yang sudah lapuk itu, bagaimana kalau Anwar menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah antara tokoh yang bertanggungjawab membawanya masuk menyertai Umno. Anwar atau orang-orangnya mungkin dengan mudah menolak hujah Tengku Razaleigh dengan kembali menyindir program dan tindakan Tengku Razaleigh sendiri semasa mengetuai Kementerian Kewangan dahulu. Tapi saya rasa sebagai pemimpin yang bercita-cita besar menjadi PM, Anwar wajar mendengar semua kritikan terhadapnya.
“Kita patut bertanya syarikat manakah yang memiliki sebahagian besar daripada hartanah yang paling mahal di ibu kota? Siapakah yang akan mendapat kontrak membina sistem pembentungan najis yang bernilai enam ribu juta ringgit? Siapakah yang mendapat keuntungan daripada pembangunan Pulau Langkawi, Pulau Redang dan Pulau Layang-layang? Siapakah taukeh besar pusat rekreasi Bukit Kiara di ibu kota? Siapakah yang menjadi broker kepada kepada memorandum persefahaman membeli senjata moden yang bernilai beribu-ribu juta ringgit? Syarikat milik siapakah yang paling banyak disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur? Siapa yang akan memiliki kekayaan hartanah di kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara apabila ia kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara apabila ia dirobohkan kelak? Syarikat swasta manakah yang paling beruntung daripada krisis tenaga hari ini? Apakah penoreh getah yang mendapatmya? Adakah kaum nelayan dan peneroka Felda yang memiliki saham dalam syarikat-syarikat tadi? Kenapa di saat negara ketiadaan wang untuk membayar bonus dan menyediakan skim perumahan kepada kakitangannya serta menambahkan peruntukan untuk pembangunan luar bandar, mereka bercakap tentang melipatgandakan projek mewah di dalam bandar? Untuk apa projek-projek itu? Untuk rakyat terbanyakkah atau untuk komisyen orang tertentu,” tegas Tengku Razaleigh.
Sekali lagi kita hujahkan suasana pembahagian kekayaan negara dengan komen ABIM di zaman Anwar dahulu: “Suatu keadaan yang amat menjolok dalam masyarakat kita sekarang ialah wujudnya segolongan orang yang hidup mewah berpoya-poya di tengah-tengah ratap tangis derita rakyat miskin yang tertindas. Ini amat mencemaskan sekali kerana mengikut hukum Sunnatullah keadaan demikian adalah merupakan gejala kehancuran masyarakat. Apa sesebuah masyarakat itu sudah dikuasai oleh golongan “luxury loving people” –golongan yang mencintai kemewahan dan kemoncahan hidup duniawi – maka itulah tandanya masyarakat tersebut sedang mendekati ajal kehancurannya.
Firman Allah (Al-Isra’: 16) bermaksud: “Dan jika kami hendak membinasakan suatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”
Kenyataan rasmi ABIM zaman Anwar itu mendedahkan lagi: “Kecenderungan ke arah “luxurious life” adalah punca berbagai penyakit sosial. Kegilaan dalam gaya hidup moncah dengan mudah boleh menyebabkan seseorang itu pecah amanah, menipu, mementingkan diri, tidak bertanggungjawab, kehilangan dedikasi, tidak tahan lasak dan serba lemah.
Dalam hubungan ini Ibnu Khaldun pernah menyatakan bahawa kehidupan moncahlah yang merupakan faktor terpenting berleluasanya amalan rasuah. Kalau kita menelaah catatan-catatan sejarah jatuh bangunnya umat Islam, nanti kita akan ketemu dengan satu kesimpulan bahawa antara faktor terpenting kegagahan dan keunggulan umat Islam dahulu ialah “kesederhanaan’ dalam kehidupan. Apabila umat Islam mulai terjerumus dalam kancah kehidupan moncah, maka bermulalah zaman kelemahan dan kejatuhan mereka kerana perhatian mereka sudah beralih dari amal dan jihad kepada kemewahan dan kemoncahan.”
Nota : Rencana di atas ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya "Memo Buat Bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993. Ahmad Lufti sekarang adalah Ketua Pengarang Harakah
6 ulasan:
Apa yang kita akan dapt menyokong Anwar? Adakah kita bakal dihujani dengan kesenangan. Saya risau kerana kerana Anwar merupakan sekutu Amerika Syarikat yang paling utama di Malaysia.
biasa la tu....manusia sentiasa boleh berubah....dulu x boleh...sekarang boleh....pagi haram....petang halal....mcm2 la
jangan lupa bagi kat rakyat sama.. jangan makan ngan sedara mara saja.. kasi laa up sikit gaji kalau jadi PM.. he..he..he...
Panjang sangat rencana ni. Org PKR takkan baca. (Tak perlu ringkaskan sebab klu pendek pun diorg tak baca juga). Pendek kata, tulis apa pun diorg tak kan peduli.
Bolehkah Anwar bentuk kerajaan 16 Sept nie?
Salam,
Teringat Joyah pada seorang penyokong kuat Nuar dan juga orang ABIM kat tempat keje Joyah. Cakap pasal agama, berapi-api, macam dia sorang je yang bijak pandai. Tapi suka menjatuhkan maruah orang dikhalayak ramai, suka menjual nama orang untuk dapatkan sesuatu, suka di ampu dan didewa-dewakan, suka hidup bermewah-mewah, namun atas hasil yang belum tentu halal. Selalu mengular masa kerja. Pukul 4 petang dah ada kat badminton court, wahal orang lain masih bertungkus lumus di offis. Rumah macam istana, perabot semua yg import, tak seiring dgn jawatan. BPR masuk, tapi kes tutup sebab tak nak company malu.
Hmmm perangai meke ni standard je, kan. Semua sama.
wallahualam
Catat Ulasan