Setting 'keluarga bahagia’ sidang akhbar itu sendiri sudah cukup untuk membuat siapa saja terasa macam mimpi betulkah seorang insan yang sebegini dituduh buat begitu.
Dibelakangi dua orang anaknya Nurul Izzah dan Nurul Nuha – dan dengan wajah tersenyum riang Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Datuk seri Anwar Ibrahim Khamis membuka satu lagi babak baru dalam drama dakwaan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.
Senarionya macam tak ada apa-apa.
"Nak dakwa apa.Mereka tidak ada apa untuk dakwa saya.Mereka dah pergi memancing hampir sebulan sekarang dan belum tangkap seekor ikan pun.Mungkin mereka akan tangkap sebiji buah kelapa dan sangka itu seekor ikan,”katanya merujuk kepada cakap-cakap beliau akan ditahan bila-bila masa saja sekarang atas dakwaan meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Babak kali ini dikira akan memakan masa panjang dari babak-babak lain kerana Anwar hendak mengangkat dirinya sebagai wakil rakyat menerusi satu pilihanraya kecil.
Setelah bermain teka teki dari Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ke Kulim Bandar Bharu di Kedah rupanya Permatang Pauh di Pulau Pinang menjadi pilihannya.
Kisah Anwar nak bertanding pilihanraya kecil bukanlah satu hal yang mengejutkan dan begitu juga pilihanya Permatang Pauh.
Soalnya di sini cuma timing nya sahaja bila Wan Azizah mengumumkan dalam sidang akhbar di pejabat Parti Keadilan Rakyat dekat Petang Jaya itu beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.
Timing nya ditengah kemelut dakwaan liwat oleh bekas pembantunya yang meletup pada 28 Jun lalu tentunya mengundang 1001 macam andaian.
Andaian popular yang pastinya Anwar sendiri tahu wujud dibenak fikiran ramai orang tahu ialah beliau hendak menarik kesnya ke tengah kancah rakyat.
Penasihat PKR itu tidak dapat salahkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim, misalnya bila beliau menyifatkan keputusan Wan Azizah lepaskan kerusi Permatang Pauh sebagai satu langkah politik Anwar dalam hadapi dakwaan liwatnya.
“ Ini semata-mata untuk raih simpati,”katanya.
Malah katanya, jika Anwar ditahan polis kerana dakwaan liwat , tindakan itu akan dituduh bukti wujudnya konspirasi untuk halang beliau bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.
“Tindakan terdesak ini sudah dijangka dan ia satu lagi helah untuk elak hadapi dakwaan liwat,”kata Ahli Parlimen BN Muar itu yang juga seorang peguam.
Malah andaian Razali ini disahkan sendiri oleh Ketua Penerangan PKR,Tian Chua.
Ahli Parlimen kawasan Batu di Kuala Lumpur ini dipetik oleh agensi berita AFP sebagai berkata, “mereka (polis) akan menangkapnya dalam tempoh 48 jam lagi.Ia bertujuan untuk menyekat dia bertanding dalam pilihanraya kecil,”katanya.
Setelah kontroversi akuan bersumpah P.Balasubramanian, enggan ke balai polis,ditahan polis dekat rumah,enggan buat ujian DNA,laporan doktor Pusrawi... soalan terbesar tentunya selepas ini apa pula...?
Siapa saja sudah dapat gambarkan suasana yang panas…panas..panas masa kempen menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh nanti.
“Kes ke mana …apa ke mana…waktu itu jawabnya mahkamah rakyatlah yang akan jadi benteng pertahanannya,”kata seorang pemerhati politik.
Pilihanraya kecil itu tidak mungkin dapat disekat.
Sekalipun ditahan dan didakwa Anwar hanya akan hilang kelayakan jika didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000.
Jarang ada kes mahkamah yang selesai seminggu atau sebulan dan ia boleh makan tahun.
Anwar tahu dan ramai orang yang tahu bab ini.
- 31/7/2008
baca artikel asal di agendadaily.com
1 ulasan:
Pada hari penamaan calon di PR kecil Permatang Pauh silap haribulan Borang Anwar akan ditolak atau ada hamba Allah akan buat usul bantahan. Maka lawan akan menang tanpa bertanding. Sebab itu kemungkinan PAS atau DAP akan bersiap sedia untuk meletakkan calon mereka di sana,
Masing-masing akan merahsiakan strategi masih.. sama-samalah kita tunggu siapa yang kena.
Catat Ulasan