MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

26 Sep 2009

Pemuda PAS khuatir isu Selcat bawa kejatuhan Pakatan Rakyat

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS pusat memberi amaran kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat "boleh tumbang seandainya kakitangan awam terus diaibkan dan mereka mula membenci pemerintah" berikutan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat).


Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar jangan mengulangi kesilapan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan dua tahun lalu.

Ketika itu Dr. Khir merupakan Menteri Besar Selangor.

Pada 12 November 2007, kerajaan negeri ketika itu pimpinan Dr. Khir menyampaikan hadiah penyapu kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama penyapu itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor.

"Kita perlu mengambil pengajaran daripada tindakan Khir Toyo yang membawa penyapu dan menghadiahkan kepada pegawai kanan kerajaan (pada November 2007, lima bulan sebelum pilihan raya umum)... membawa kepada kerajaan negeri dijatuhkan, dibenci kakitangan kerajaan negeri," kata Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Nasrudin melahirkan pendiriannya ini ketika banyak pihak menggesa agar Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali keluar Pakatan Rakyat negeri itu dan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian beliau mempertikaikan secara terbuka perjalanan Selcat.

"Walaupun Datuk Hasan memberikan pandangan yang berbeza, jangan sampai beliau dipancung, jangan beliau dibuang.

"Perbezaan pandangan ini mewujudkan satu kaedah pemantauan pengurusan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita dengar dulu penjelasan daripada Datuk Hasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman," katanya.

"Apa yang ditegur oleh Datuk Hasan ada kewajarannya," kata beliau.

Hasan telah melahirkan sokongan kepada pihak yang mengkritik Selcat termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN).

Malah, pemimpin Pakatan Rakyat termasuk pemimpin PAS sendiri merasakan Hasan tidak wajar menyatakan pandangan sedemikian kerana Selcat adalah inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2008.

sumber - Mstar
Oleh G. MANIMARAN

Isu Selcat: PAS timbang tindakan disiplin terhadap Hasan Ali?


PETALING JAYA: PAS Pusat dipercayai sedang mempertimbangkan 'tindakan lebih keras' kali ini terhadap Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali ekoran pendirian terbuka beliau mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) - negeri diterajui Pakatan Rakyat.

mStar Online difahamkan Hasan akan berhadapan dengan tindakan keras itu ekoran pendirian terus-menerus beliau membelakangi semangat dan kesetiakawanan Pakatan Rakyat buat kali ketiga dalam tempoh 18 bulan yang lalu.

Malah, mStar Online juga difahamkan Jawatankuasa Kerja pusat PAS telah memberi 'amaran' kepada Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor dua kali sebelum ini termasuk berhubung soal pengharaman jualan arak di Shah Alam baru-baru ini.

Langkah itu juga dipercayai ada kaitan dengan tekanan daripada barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja PAS, dijadual untuk diadakan 11 Oktober ini tetapi kemungkinan dipercepatkan ekoran pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun beberapa pemimpin yang dihubungi tidak dapat mengesahkan bentuk tindakan disiplin yang kemungkinan diambil.

Difahamkan walaupun beberapa pemimpin dalam PAS mempersoalkan tindakan Hasan, Pesuruhjaya PAS Selangor itu terus menerima sokongan padu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa.

"Saya percaya Jawatankuasa Kerja akan meminta penjelasan daripada Datuk Hasan dalam isu ini. Kami akan mendapatkan penjelasan mengapa beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.

Ketika ditanya sama ada tindakan disiplin akan diambil ke atas Hasan, Mahfuz berkata:

"Itu saya tidak tahu, tidak boleh pastikan... ia kena tanya pada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang diketuai oleh Tuan Ibrahim (Tuan Man) (seorang lagi Naib Presiden PAS)."

Ahad lalu, Hasan mempertahankan kritikan dilemparkan pegawai-pegawai daerah Selangor sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Hasan menambah, beliau sangat bersimpati dengan pegawai-pegawai berkenaan yang seolah-olah "dilayan sebagai budak sekolah."

Oleh itu beliau turut berhadapan dengan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat termasuk dari PAS sendiri.

Sebelum ini Mahfuz memberikan pandangan bahawa Hasan tidak wajar membangkitkan isu Selcat, yang dibentuk oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor secara terbuka selain tidak memahami soal pemisahan kuasa antara bidang eksekutif dan legislatif.

Tiga hari lalu, Hasan mempertahankan pendiriannya itu sambil mahu satu pertemuan tiga penjuru - membabitkan Menteri Besar, Exco dan anggota Selcat diadakan bagi menyelesaikan isu menyelubungi badan itu.

Mengenai spekulasi bahawa PAS negeri mahu menjalin kerjasama dengan Umno-BN Selangor, Mahfuz berkata, perkara tersebut tidak boleh diputuskan oleh kepimpinan negeri, sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh kepimpinan pusat.

"Apa-apa bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak, ia perlu diputuskan oleh PAS pusat... PAS negeri tidak hak untuk membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad juga berpendapat bahawa Hasan seolah-olah sudah melampaui batasan sebagai salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

"Kebanyakan pemimpin dalam Jawatankuasa Pusat yang saya hubungi berkongsi pandangan yang sama bahawa beliau harus memberikan penjelasan mengapa kenyataan sedemikian dikeluarkan secara terbuka, lebih-lebih selepas pernah diberikan amaran oleh kepimpinan pusat khususnya dalam isu jualan minuman keras.

"Nampaknya, pendirian-pendirian beliau sudah membelakangi semangat dan kesetiakawanan dalam Pakatan Rakyat," kata beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan PAS.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, Hasan sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri Selangor kemungkinan mempunyai sebab-sebab tertentu mengenai soal kekurangan pada Selcat, tetapi "itu bukan caranya untuk mengeluarkan pandangan beliau."

"Apa bentuk tindakan boleh diambil ke atas Datuk Hasan, ia hanya boleh ditentukan oleh Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan Naib Presiden," katanya.

sumber - mstar




Tiada ulasan: