MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

12 Feb 2009

Menilai semula Anwar Ibrahim



Oleh HARIS ZALKAPLI
hariszalkapli@gmail.com


"History is often not what actually happened but what is recorded as such." - Henry L Stimson

Anwar Ibrahim menduduki satu tempat istimewa dalam politik Malaysia. Tokoh ini mendapat sokongan meluas semasa dalam parti pemerintah, dan terus mendapat sokongan meluas rakyat selepas dipecat daripada parti pemerintah. Sokongan terhadap beliau tidak mengenal garisan parti.


Bagaimanapun, kedudukan ini menjadikan beliau dikelilingi mitos. Sering kali, penilaian terhadap Anwar tidak dilakukan dengan adil. Beliau sering dinilai berdasarkan apa yang diimpikan (potensi), bukan apa yang diamalkan (realiti).

Semasa masih memegang kekuasaan bersama Umno, sokongan kuat terhadap Anwar banyak bersandar pada potensi beliau untuk membawa perubahan ke arah kebaikan melalui kedudukannya dalam parti pemerintah, dan menyatukan umat Melayu Muslim yang berpecah berdasarkan garisan parti. Anwar dilihat sebagai paragon segala nilai yang baik.

Perubahan drastik

Anwar juga, selepas menyertai Umno, kadang-kala dilihat sebagai seorang tokoh gerakan Islam, walaupun jelas sekali satu perubahan yang drastik berlaku berikutan penyertaannya dalam Umno.

Semakin Anwar menghampiri puncak kekuasaan, semakin jauh beliau dari definisi dirinya sebelum itu. Anwar mula lebih mudah didefinisikan sebagai seorang ahli politik pragmatik, yang menggunakan karisma tokoh gerakan Islam dan pemimpin liberal untuk mendapat sokongan popular.

Selepas September 1998, Anwar muncul dalam bentuk baru, dan mempakejkan semula gerakan pembangkang di Malaysia. Pakej beliau, yang diberikan nama reformasi, menjadi popular dan mendefinisikan gerakan rakyat di Malaysia.

Agenda yang pernah beliau kemukakan sebelum itu, termasuk menghapuskan segala bentuk korupsi dalam pemerintahan dan mewujudkan masyarakat madani menjadi agenda rakyat Malaysia.


Mitos diri

Dalam wawancara rancangan Hardtalk di Perbadanan Penyiaran British (BBC) baru-baru ini, Anwar sekali lagi cuba mengukuhkan mitos dirinya sebagai epitomi pemimpin yang adil dan bersih. Daripada apa yang dikemukakan beliau, Anwar tidak mengalami apa-apa perubahan, sama ada semasa menjadi pemimpin pelajar radikal, ketika memegang pengaruh besar dalam Umno dan apabila menerajui penentangan terhadap parti pemerintah sejurus selepas dipecat daripada Umno.

Hakikatnya, definisi Anwar berubah melalui setiap fasa yang dilaluinya. Anwar telah muncul sebagai tokoh gerakan pelajar dan gerakan Islam, ahli politik pragmatik dan terbaru, pemimpin parti pembangkang. Anwar melakukan satu penyelewengan apabila menyatakan sebaliknya.

Anwar cuba menulis semula sejarah apabila memberi tafsiran baru tentang apa yang beliau lalui semasa bersama Umno. Anwar sememangnya menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa. Kisah The New Straits Times Press (NSTP) dan TV3 dikuasai individu-individu yang menyebelahi beliau, dan perlantikan Johan Jaaffar sebagai ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu telah jelas diketahui.

Peristiwa itu menjadi satu isu yang menjadi tumpuan pihak pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan. Kemunculan Anwar yang lebih prominen berbanding Perdana Menteri ketika itu memang diketahui pemerhati politik tempatan. Soal pemilikan saham adalah satu isu lain. Yang menjadi fokus utama di sini ialah pengaruh terhadap editorial media terbabit.

Menentang penyelewengan

Anwar juga telah cuba mengemukakan bahawa beliau sentiasa menjadi suara yang menentang penyelewengan dalam kerajaan. Tetapi melalui sejarah, dapat dilihat bahawa Anwar menjadi "wajah Islam" bagi Umno untuk berdepan PAS. Beberapa pemimpin PAS sendiri mengakui sukar untuk berdepan Umno disebabkan karisma tokoh gerakan Islam Anwar.

Bagaimanapun, beliau terus mendapat sokongan padu PAS, walaupun berpendirian liberal dan memandang tinggi tokoh seperti Nurcholis Majid.

Tidak ada individu lain yang berfahaman liberal dan menandang tinggi Nurcholis mampu mendapat layanan sebegitu baik pemimpin PAS, seperti juga tidak ada individu lain yang menyokong Paul Wolfowitz boleh dipandang tinggi tokoh berhaluan kiri dalam Parti Keadilan Rakyat.

Anwar sememangnya "groomed for succession" oleh perdana menteri ketika itu, Mahathir Mohamad. Pergerakan Anwar ke puncak kekuasaan berjalan dengan lancar sekali. Pasti Anwar tidak akan mudah dilantik ke jawatan tertinggi sekiranya beliau konsisten menentang korupsi dan kezaliman Umno, seperti yang didakwa dalam wawancara Hardtalk.

Sebahagian sistem

Jawapan Anwar, "Mungkin," ketika ditanya adakah beliau rasa sepatutnya lebih lantang bersuara ketika di dalam kerajaan, sangat lemah. Beliau sememangnya sebahagian daripada sistem yang beliau tiba-tiba menentang dengan keras bermula September 1998.

Seperti yang dinyatakan hos rancangan Hardtalk, Stephen Sackur, "Mungkin tidak cukup baik." Memang bagi pemimpin seperti Anwar, yang mendakwa mewakili segala nilai yang baik, jawapan beliau tidak mencerminkan dirinya seperti yang dipersembahkan kepada rakyat.

Anwar meletakkan standard yang tinggi bagi Umno, terutama dalam ucapannya sebelum dipenjara. Ketika itu juga, Anwar kelihatan tidak konsisten. Pada mulanya, beliau hanya menolak Mahathir, dan bukan Umno. Tetapi selepas itu, selepas mula rapat dengan parti-parti pembangkang, beliau mengambil keputusan menolak terus parti Melayu itu.

Usah berdalih

Anwar tidak perlu berdalih lagi. Sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin yang disanjung hampir semua pihak dan diberikan harapan menerajui gerakan perubahan di Malaysia, beliau perlu berterus-terang, dan tidak lagi cuba untuk memuaskan hati semua pihak. Dan Anwar mesti berhenti menulis semula sejarah.

Hanya ada satu Anwar Ibrahim, dan beliau perlu segera menunjukkan dirinya yang sebenar. Tindakan berdalih untuk menjaga sokongan politik perlu ditinggalkan, sekiranya benar beliau berpegang pada nilai-nilai baik yang menjadi agenda perjuanganya.

Semua pihak, terutama penyokong beliau dan parti pembangkang, perlu menghadapi Anwar dengan rasional, tanpa dipengaruhi sebarang sentimen. Rakyat lebih utama daripada Anwar

sumber - Idealis-Mahasiswa

Tiada ulasan: