MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

26 Nov 2008

Anwar: Tiada larangan jualan alkohol di Selangor



Anwar: Tiada larangan jualan alkohol di Selangor


S Pathmawathy | Nov 26, 08 3:45pm

Tiada larangan jualan alkohol di 7-Eleven, pasaraya dan kedai kopi di Selangor, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun, keputusan untuk mengenakan sebarang larangan adalah sepenuhnya dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan exco negeri, katanya kepada pemberita di Parlimen.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata dasar membataskan jualan arak bukan perkara untuk dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Perkara seumpama itu mesti dirujuk kepada kerajaan negeri dan ia akan dibincangkan di peringkat itu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Prinsip asasnya, kata beliau, ialah supaya kedai-kedai berkenaan tidak dilihat seperti menggalakkan minuman alkohol terutama di kalangan generasi muda dan orang Islam.

Tetapi, katanya, tiada sebarang cadangan daripada kerajaan Selangor untuk melarang sepenuhnya jualan alkohol di premis terbuka yang membabitkan orang bukan Islam.

Menurut Anwar lagi, beliau tidak ada sebarang masalah dengan dasar-dasar sekarang kerana fundamentalnya sudah jelas.

Exco negeri bincang

Bagaimanapun, beliau menambah, sebagai sebuah negara yang demokratik, mesti ada ruang untuk membuat cadangan dan perbincangan.

"Rakyat memberi pandangan dan maklum balas dan kita mesti mendengarnya tetapi dalam aspek dasar, tidak ada sebarang masalah," katanya.

Menurut beliau, tiada apa yang harus dibimbangkan kerana dasar sekarang kekal dan "kami tidak menggalakkan umat Islam minum (alkohol) atau makan babi tetapi kita tidak akan menafikan hak orang bukan Islam untuk makan babi atau minum alkohol".

Akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini menyiarkan di muka depan laporan bahawa PAS Selangor bimbang dengan keadaan sekarang di mana minuman alkohol mudah didapati di kedai-kedai.

Dimaklumkan bahawa majlis-majlis perbandaran akan diberi tugas - selepas mendapat kelulusan majlis tersebut - untuk mengenakan larangan penjualan alkohol di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Selangor yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu pemberita di Parlimen bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

sumber - Malaysiakini


MBSA diarah tangguh kawal jualan arak

Jimadie Shah Othman | Nov 26, 08 6:33pm

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) harus menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras, yang asalnya dirancang berkuatkuasa Januari depan, sehingga diputuskan oleh kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun kerajaan negeri prihatin dengan kebimbangan sesetengah pihak berhubung pengambilan alkohol, ia tidak akan mengambil tindakan drastik mengehadkan jualan secara menyeluruh.

"Kita telah meminta supaya semua keputusan itu (di peringkat pihak berkuasa tempatan) dibuat selari dengan keputusan yang dibuat oleh exco negeri.

"Keputusan exco negeri hanya (memutus) meningkatkan penguatkuasaan, melarang penjualan alkohol kepada mereka bawah 18 tahun, dan juga kepada masyarakat Islam," kata Abdul Khalid apabila diminta mengulas hasrat MBSA membataskan jualan minuman beralkohol.

"Jadi selepas perjumpaan kita dengan mereka yang berkenaan seperti pemilik kedai, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan NGO-NGO, barulah kita akan membuat beberapa keputusan pelaksanaan."

Abdul Khalid menambah, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan untuk meningkatkan langkah penguatkuasaan kawalan terhadap jualan alkohol awal tahun depan.

Mengulas sama ada MBSA wajar membekukan pelaksanaan dasar tersebut, beliau juga berkata:

"Lagipun ia belum dikuatkuasakan. Itu hanya penerimaan pandangan. Tidak ada masalah. Kita akan sentiasa terima beberapa cadangan dari ahli-ahli majlis dan juga daripada NGO tentang perkara-perkara sosial dan masyarakat di Selangor."

Dasar membataskan jualan arak di beberapa premis terbuka seperti kedai serbaneka 24 jam dan restoran diputuskan oleh MBSA hujung bulan lepas.

Menurut sumber-sumber PBT itu lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaneka 24 jam - akan disemak semula.

"Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.

Bagaimanapun, tambah sumber-sumber itu, semakan semula ini tidak melibatkan premis lain seperti hotel, kelab malam, kedai ubat Cina, pasaraya besar dan jualan oleh pemborong.

Sementara itu, di sidang media lebih awal di bangunan Parlimen, exco kanan Selangor, Teresa Kok menjelaskan tiada larangan jualan alkohol di negeri itu.

Tambahnya, seorang exco pernah membangkitkan isu mudahnya minuman keras diperolehi di kedai-kedai serbaneka 24 jam dan mencadangkan agar ia dikawal lebih ketat.

Bagaimanapun, kata Teresa, cadangan itu tidak dipersetujui oleh ramai exco.

Beliau juga berkata, dalam mesyuarat berkenaan, menteri besar mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan kedai serbaneka untuk menyelesaikan isu tersebut.

sumber - Malaysiakini



Alkohol: PAS 'bongkak', kata DAP

Nov 26, 08 12:20pm

PAS dianggap "bongkak dan sukar bekerjasama" apabila cuba memperkenalkan peraturan membataskan jualan alkohol di Selangor tanpa merujuk parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Tindakan parti Islam yang membelakang sentimen sokongan pengundi bukan Islam yang memberikan kemenangan kepada Pakatan boleh melemahkan kerajaan gabungan itu, kata ketua publisiti DAP Tony Pua.

"Walaupun PAS Selangor berhak mencadangkan sebarang peraturan yang difikirkannya perlu, mereka jangan lupa bahawa di negeri ini, mereka sebahagian gabungan bersama dua lagi parti dengan menguasai lapan daripada 36 kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat," katanya.

"Oleh itu, sebarang percubaan oleh PAS Selangor untuk menegakkan dasarnya tanpa mengambil kira rakan gabungannya booleh dianggap bongkak dan sukar bekerjasama, yang hanya boleh melemahkan kerajaan campuran."

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara menambah, tindakan PAS sedemikian boleh membawa keretakan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Tony mengulas laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini yang menyebut PAS sedang memperkenalkan langkah sedemikian di restoran, kedai runcit dan kedai serbaguna 24 jam melalui anggota-anggotanya yang berada di majlis-majlis pihak berkuasa tempatan.

Beliau menambah, dengan bantahannya ini, tidak bermakna DAP menggalakkan peminuman alkohol tetapi larangan meluas bahan itu boleh dianggap melanggar hak sejumlah warga Selangor.

"Kami berharap kepemimpinan PAS negeri sudi mendengar pendapat-pendapat yang lebih wajar, bukan hanya daripada rakan-rakan gabungan (Pakatan) tetapi juga daripada dalam parti (PAS) itu sendiri yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut," kata Tony dalam satu kenyataan.

Beliau juga menggesa PAS segera memahami kerumitan kerajaan campuran Pakatan pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang jauh berbeza daripada Barisan Nasional yang menyaksikan Umno menundukkan rakan-rakan gabungannya.

sumber-Malaysiakini



Arak: Kejayaan pertama PAS di Shah Alam

Jimadie Shah Othman | Nov 26, 08 12:31pm

kemaskini 2:13pm Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pertama di Selangor - di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat - yang akan membataskan jualan minuman keras berkuatkuasa Januari depan.

Ia telah diluluskan dalam mesyuarat MBSA hujung bulan lepas, kata sumber-sumber majlis itu kepada Malaysiakini hari ini.

Langkah ini dianggap sebagai kejayaan pertama usaha PAS - salah sebuah parti komponen Pakatan - untuk menguatkuasakan peraturan tersebut seperti mana diperkenalkan di Kelantan yang ditadbir oleh parti itu.

Sebelum ini, dilaporkan mesyuarat exco kerajaan Selangor telah menolak cadangan tersebut yang dikemukakan oleh pihak PAS.

Berikutan itu, timbul desas-desus yang mengatakan PAS akan meneruskan usahanya dengan meminta ahli-ahli majlis dari parti itu supaya mengemukakan cadangan tersebut di PBT yang mereka wakili.

Menurut sumber-sumber MBSA lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaneka 24 jam - akan disemak semula.

"Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.

Semakan semula lesen

Bagaimanapun, tambah sumber-sumber, semakan semula ini tidak melibatkan premis lain seperti hotel, kelab malam, kedai ubat Cina, pasaraya besar dan jualan oleh pemborong.

Semakan semula lesen itu akan mempertimbangkan faktor lokasi tempat ia beroperasi dan maklum balas orang awam.

Perkara itu didakwa telah ditimbulkan pertama kali kira-kira dua bulan sebelum cadangan itu diterima hujung bulan lalu, untuk menyediakan dokumen yang lebih terperinci.

Sementara itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad ketika dihubungi mengesahkan penerimaan majlis itu terhadap cadangan yang dikemukakan seorang ahli majlis itu.

Katanya, beliau difahamkan, perkara itu telah dibincangkan dan diterima oleh wakil DAP sendiri.

Cuma, tambahnya, terdapat sebahagian daripada ahli majlis daripada kalangan PKR yang menentang cadangan itu.

Bagaimanapun, Khalid berkata, setakat yang beliau tahu, PAS tidak pernah mengarahkan ahli-ahlinya mengemukakan permohonan membataskan penjualan minuman keras di negeri itu.

"Perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat parti," katanya yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS yang baru digugurkan minggu lepas.

Mesyuarat MPK

Ditanya tentang desas-desus seorang ahli majlis PAS yang akan membentangkan cadangan itu dalam mesyarat Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini, Khalid berkata, perkara itu mungkin terilham daripada kejayaan membawa usul itu di MBSA.

Seorang ahli majlis di MPK yang juga ahli PAS kawasan Kota Raja dijangka membentangkan cadangan pembatasan jualan minuman keras di kawasan perbandaran berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan, sehingga tamat mesyuarat pada tengah hari tadi, cadangan itu tidak dibuat.

Pihak media telah memperolehi salinan kertas cadangan tersebut.

Malaysiakini menghubungi ahli majlis MPK berkenaan melalui SMS untuk mendapat komennya. Dalam jawapannya, juga melalui SMS, beliau berkata tidak mahu mengulas mengenainya.

Diminta mengulas isu tersebut, Khalid menegaskan, apa yang dilakukan ahli majlis PAS itu "hanyalah cadangan dan bukannya tuntutan".

Beliau berkata, ia dikemukakan bertujuan mengawal masalah sosial seperti alkoholisme yang menular di kalangan anak muda.

Katanya lagi, cadangan itu bukanlah sebahagian daripada usaha PAS menerapkan nilai-nilai Islam di negeri itu, sebaliknya bertujuan memberikan faedah kepada semua pihak tanpa mengira fahaman dan agama masing-masing.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu tidak bermaksud "pengharaman penuh", sebaliknya hanya tempat-tempat tertentu sahaja.

Reaksi PAS

"Kalau kita lihat, 7-Eleven, misalnya, merupakan pengenalan pertama alkohol kepada orang muda," katanya.

Sementara itu, ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Sharir ketika dihubungi menafikan terdapat "rancangan kedua" atau plan B PAS untuk membataskan penjualan alkohol di negeri itu setelah gagal diterima dalam mesyuarat exco negeri itu bulan lepas.

"Tidak ada plan A atau plan B. Tidak ada pelan," katanya, apabila diminta mengulas laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina yang menyebut PAS merancang membataskan jualan alkohol di seluruh Selangor.

Roslan, juga setiausaha akhbar kepada presiden PAS berkata, cadangan itu tidak dibincangkan di peringkat parti dan jika ada, ia inisiatif peribadi ahli majlis PAS sendiri.

Mengulas laporan cadangan exco agama Selangor dan juga pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali yang dilaporkan ditolak oleh mesyuarat exco Selangor, Roslan berkata, tokoh PAS itu cuma ingin kerajaan melaksanakan apa yang sudah termaktub dalam enakmen jenayah syariah Selangor 1995.

Beliau juga menyelar pihak yang membocorkan keputusan mesyuarat tersebut kerana menurutnya perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri merupakan rahsia.

Beliau berkata, cadangan itu bukanlah pengharaman tetapi membataskan jualannya kepada orang Islam.

"Kelantan pun tidak haram. Cuma tidak boleh beli, minum di tempat terbuka," katanya.

sumber- Malaysiakini

1 ulasan:

THE PUREHADHARIST berkata...

Membaca Sejarah : Menilai Slogan Demokrasi Dan Keadilan Ala Amerika Yang Diseru DSAI: Melayu Bakal menjadi Red Indian. LAYARI http://pure-hadharist.blogspot.com